Nada berubah, kenyataan kamu dah tak rasional, Bersatu bidas Hassan

Nada berubah, kenyataan kamu dah tak rasional, Bersatu bidas Hassan

Pemimpin Bersatu dakwa perkara itu dapat dilihat selepas Hassan Karim tidak lagi kritik kerajaan malah mempertahankan perdana menteri berkait titah adendum.

Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata kenyataan Ahli Parlimen PKR Hassan Karim tidak lagi rasional.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu mendakwa nada Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim yang sebelum ini sering mengkritik kerajaan sudah berubah sejak dipanggil Lembaga Disiplin PKR November lalu.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata perkara itu dapat dilihat selepas Hassan tidak lagi mengkritik kerajaan malah mempertahankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkait titah adendum.

Pada November lalu, Lembaga Disiplin PKR memanggil Hassan selepas menerima dua aduan daripada ahli Majlis Pimpinan Pusat berhubung kritikan terbuka terhadap kerajaan. Bagaimanapun Ketua Penerangan Fahmi Fadzil berkata tiada tindakan akan diambil ke atasnya.

“Kenyataannya sudah jadi tidak lagi rasional,” kata Faisal kepada FMT.

Dakwaan Tun Faisal menyusul kenyataan Hassan pada 18 Jan lalu, tiada seorang pun pemimpin semasa Bersatu dan PAS layak memimpin negara.

Hassan berkata, ‘amat bahaya’ sekiranya pemimpin semasa Perikatan Nasional (PN) dibenarkan mentadbir negara semula, susulan tindakan mereka yang menurutnya ‘membunuh demokrasi’ ketika wabak Covid-19.

Veteran PKR itu menyifatkan, tindakan mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan menggantung Parlimen sebagai ‘pengkhianatan terhadap rakyat yang sukar dimaafkan’.

Mengulas lanjut, Faisal berkata pemimpin PN sudah terbukti layak mentadbir negara terutama semasa pandemik bagi tempoh 2020 hingga 2022.

“Sebab itu tidak sampai sebulan selepas PN membentuk, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) telah dilancarkan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM250 bilion,” katanya.

Afnan Hamimi Taib Azamudden
Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menyindir Hassan bahawa Anwar adalah ‘perdana menteri paling layak di dunia’ memimpin negara.

“Pendek kata semua berjalan begitu baik sekali. Semua yang dijanjikan dalam manifesto telah dilaksanakan 100%. Memang terbaik,” sindirnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.