
Beliau berkata sebelum penyelarasan pencen veteran tentera diberi makluman tentang kaedah pengiraan dan bagaimana mereka boleh dapatkan formula pengiraan itu.
“JHEV sentiasa terbuka untuk terima aduan mahupun bagaimana pengiraan dibuat,” katanya pada sidang media selepas majlis JHEV, yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Khaled Nordin.
Adly berkata JHEV membuat hebahan di media sosial untuk memastikan bekas tentera mendapat maklumat berhubung pelarasan pencen.
Beliau menggesa bekas tentera yang mempunyai persoalan berhubung kiraan pencen untuk berhubung terus dengan JHEV.
Pada 23 Dis lalu, kira-kira 30 orang bekas tentera hadir ke JHEV Kuala Lumpur bagi mendapatkan penjelasan berhubung kiraan pencen, susulan pelaksanaan SSPA.
Seorang bekas tentera yang ditemui, Rafique Ali Ahmad Nordin, mendakwa kebanyakan mereka tidak menerima kenaikan sebanyak 8%.
Pada 7 Nov lalu, Khaled dilapor berkata veteran tentera yang bersara sebelum Januari 2013 akan menerima pelarasan pencen fasa pertama sebanyak 8% pada Disember, berdasarkan gaji akhir pada 2012.
Katanya, penyelarasan tersebut dibuat mengikut formula pencen yang terdapat dalam Peraturan ATM Tetap 1982, susulan pelaksanaan SSPA, lapor Malaysia Gazette.