
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata kementerian itu antara penerima peruntukan tertinggi berjumlah RM21 bilion, menjadikan pengurusan perolehan perlu diberi perhatian serius.
“Selepas Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan antara menerima peruntukan tertinggi. Cabaran kita ialah bagaimana mengurus perolehan dengan sebaiknya dan penuh ketelusan,” katanya dalam temu bual FMT.

Beliau berkata, pelan antirasuah kementerian turut diperkemas dengan penekanan terhadap tadbir urus dan kerjasama lebih kukuh bersama SPRM bagi memastikan setiap peringkat proses dapat dipantau.
Katanya, penggunaan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI), menjadi fokus bagi membolehkan pemantauan perolehan dilaksanakan lebih berkesan.
“Perolehan dalam talian sebenarnya boleh dipantau, namun kita perlu memastikan keseluruhan proses itu dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, kementerian menstruktur semula jawatankuasa perolehan dengan melibatkan pegawai kementerian lain termasuk Kementerian Dalam Negeri bagi mengelakkan keputusan tertumpu kepada satu pihak sahaja.
Adly berkata, pendekatan silang perkhidmatan turut diperkenalkan, dengan penglibatan tentera darat, laut dan udara dalam penilaian teknikal perolehan aset.
“Kalau perolehan melibatkan aset darat, kita libatkan pihak tentera laut untuk penilaian teknikal, dan sebaliknya bagi aset udara. Ini antara penambahbaikan yang dilaksanakan,” katanya.
“Bagi perolehan darat, kita libatkan pihak tentera laut untuk penilaian teknikal. Begitu juga bagi perolehan udara, wakil tentera darat boleh dilibatkan. Ini antara penambahbaikan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, kementerian akan terus menambah baik sistem sedia ada bagi memastikan ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti sentiasa terpelihara.
Pada 16 Jan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan pembekuan kelulusan kontrak perolehan ketenteraan sehingga semakan menyeluruh dibuat, susulan isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia.