
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, idea formula itu sekadar ‘talian hayat politik’ untuk PH yang masih bergelut mendapatkan kembali sokongan pengundi di Melaka.
Katanya, BN tidak berada dalam keadaan terdesak untuk menerima cadangan itu memandangkan rekod kemenangan lalu membuktikan ia mampu berdiri sendiri.
“Ironinya, BN pernah bertanding bersendirian dan menang besar. Jadi, mengapa mereka perlu tunduk kepada cadangan yang jelas lebih menguntungkan PH semata-mata?
“BN tidak perlukan tongkat, mereka sudah membuktikan kekuatan jentera dan sokongan akar umbi yang padu. Cadangan Adun lantikan hanya menyerlahkan kelemahan PH gagal menawan hati pengundi tempatan.
“Mengapa BN perlu berkongsi pentas dengan pihak yang sekadar mencari oksigen politik?” katanya kepada FMT.
Semalam, Adly dilaporkan berkata, PH Melaka membuka pintu kerjasama dengan BN pada PRN, namun menyerahkan beberapa cadangan awal sebagai asas perbincangan, termasuk Adun lantikan untuk dinilai gabungan itu.
Katanya, langkah itu demi mengelakkan persaingan yang boleh menjejaskan kestabilan negeri, walaupun mengakui realiti politik menyaksikan setiap parti cenderung mempertahankan kerusi masing-masing.
Zaharuddin membangkitkan implikasi terhadap prinsip demokrasi, jika cadangan Adun lantikan diterima.
“Pelantikan Adun lantikan mungkin tampak sebagai jalan tengah. Wakil rakyat sepatutnya dipilih melalui mandat pengundi, bukan hasil rundingan politik.
“Jika BN bersetuju, ia boleh dilihat menggadaikan mandat yang diperoleh sebelum ini demi menjaga hati PH. Itu bukan kompromi bijak, tetapi langkah ke belakang yang boleh menjejaskan imej BN sendiri.”
Sementara itu, Afifi Abdul Razak dari Universiti Utara Malaysia yang senada menyifatkan cadangan Adun lantikan sebagai langkah ‘goodwill’ dalam rundingan awal, bukan penyelesaian muktamad kerana BN dalam kedudukan kukuh di Melaka.
Beliau berkata, soal agihan jawatan Adun lantikan bukan isu utama membelenggu kerjasama BN-PH di Melaka sebaliknya kerana DAP.
“DAP kekal komponen PH, kerjasama BN-PH yang bersifat formal dan terbuka akan kekal mencabar secara politikal, walaupun secara praktikal kedua-dua pihak mungkin mencapai persefahaman tidak rasmi untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang merugikan mereka.”
Beliau turut menjangkakan kerjasama PH-BN pada PRN Melaka menjadi senjata kempen Perikatan Nasional dengan menggambarkan Umno sebagai ‘boneka DAP’ kerana naratif itu terbukti berkesan pada PRU15.