
Kelmarin, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan afirmatif untuk Bumiputera bawah DEB tidak boleh kekal selama-lamanya dan ia perlu dihentikan apabila tiba masa.
Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, Bumiputera yang meliputi 70% penduduk negara ini masih bergelut dengan status ekonomi memandangkan majoriti kelompok itu ‘tersekat’ dalam perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).
Katanya, walaupun DEB berjaya membawa ramai anak Bumiputera cemerlang dalam pendidikan, kelompok itu masih tertinggal jauh dalam dunia perniagaan berbanding kaum bukan Bumiputera yang majoritinya berkecimpung dalam perniagaan sederhana dan ke atas.

“DEB tak dinafikan telah berjaya dalam beberapa aspek khususnya pendidikan…ia sangat berjaya dalam mengimbangi kedudukan Bumiputera dengan kaum lain tetapi dalam aspek lain seperti perniagaan, Bumiputera masih tertinggal jauh.
“Itu disebabkan kaum Bumiputera terus memilih untuk terus berkecimpung dalam sektor PMKS dan 85% kumpulan pekerja, bekerja dalam sektor ini.
“Jadi, mereka secara tidak langsung berada dalam persekitaran itu sedangkan peniaga bukan Bumiputera lebih berpengalaman…lebih cepat keluar dari perniagaan mikro dan pergi ke sektor lebih besar,” katanya kepada FMT.
Beliau juga tidak menolak usaha untuk mencapai keseimbangan ekonomi antara kaum sukar dicapai, dan perkara itu turut dihadapi negara maju seperti Amerika Syarikat (AS).
“Adakah keseimbangan itu bermakna semua orang mempunyai pendapatan dan kekayaan yang sama? Itu mungkin tidak boleh berlaku walaupun di negara Komunis sekali pun… kerana negara maju seperti AS sendiri berdepan cabaran jurang ekonomi.
“Namun, jika kita kata keseimbangan bagi memastikan setiap warga Malaysia hidup sejahtera walaupun ada perbezaan antara pendapatan dan kekayaan itu mungkin suatu yang realistik.
“Tetapi jika itu dah dicapai tak bermakna ia perlu dihentikan… kita masih perlu teruskan (DEB) untuk cuba capai kedudukan lebih baik sehingga jurang pendapatan dan kekayaan antara kaum pada tahap paling kecil,” katanya.
Dasar terbuka
DEB diperkenalkan ketika pentadbiran Abdul Razak Hussein bertujuan menangani ketidakseimbangan ekonomi antara kaum melalui program tindakan afirmatif yang mengutamakan Bumiputera.
Antara dasar utamanya adalah kuota berasaskan kaum dalam pendidikan yang sering menjadi isu perdebatan hangat. Pengkritik mendakwa ia mendiskriminasi pelajar bukan Bumiputera.
Pada Julai 2019, Anwar Ibrahim berkata DEB perlu dimansuhkan kerana ia tidak mampan untuk jangka panjang, dan menggesa digantikan dengan dasar berasaskan keperluan.
Sekutu rapat Mahathir, Daim Zainuddin, turut berpendapat tindakan afirmatif sepatutnya berdasarkan keperluan dan bukan kaum, bagi mengelakkan mereka yang mendapat manfaat daripada campur tangan kerajaan untuk Bumiputera terus diperkaya.
Mengulas perkara itu, Barjoyai berkata bagi meredakan kritikan terhadap dasar afirmatif untuk Bumiputera, pemerintah mungkin boleh mempertimbangkan mewujudkan dasar bersifat terbuka.
“Kita tak perlu label ia sebagai dasar khusus untuk kaum Bumiputera, mungkin kita boleh sebut ia satu dasar untuk seimbangkan atau setarakan pendapatan dan kekayaan dalam kalangan rakyat.
“Kalau kerajaan boleh buat begitu, ia akan meliputi kaum Bumiputera juga kerana kaum itu meliputi 70% penduduk negara ini,” katanya.