
Walaupun berbelanja secara sederhana, masyarakat Cina percaya ia tidak akan menjejaskan kemeriahan dan kegembiraan perayaan tahun ular kali ini.
Tan Boon Keat lebih mengutamakan bajet untuk perbelanjaan makanan pada hari ‘makan besar’ iaitu malam sebelum Tahun Baharu Cina.
“Saya kurang beli limau mandarin tahun ini, pokok limau (membawa simbol kekayaan) yang dulu mesti ada pun tiada.
“Belanja lebih untuk malam sebelum Tahun Baharu Cina sebab ahli keluarga dapat berkumpul setelah sekian lama tak jumpa,” kata pesara berusia 72 tahun ketika ditemui FMT di sebuah pasar raya di Cheras.
Pekerja swasta mahu dikenali Kimmy, 36, mengakui terasa peningkatan kos sara hidup dan harga barangan, namun mengawal perbelanjaan dengan melakukan persiapan awal.
Kimmy membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum melakukan pembelian.
“Bukan itu sahaja, keluarga saya turut sebulat suara memutuskan untuk memasak sendiri pada ‘makan besar’ kali ini. Agak letih juga tapi mungkin dapat jimat berbanding menjamu selera di restoran.
“Yang penting gembira kerana dapat bertemu saudara-mara yang jarang berjumpa,” katanya.
Suri rumah, Lim Yinnigh, 40, dari Kota Damansara berdepan dilema antara persiapan sambutan Tahun Baharu Cina dengan sesi persekolahan akan bermula Februari.
Tergolong dalam keluarga berpendapatan rendah, ibu tiga anak itu perlu merancang kewangan dengan teliti bagi mengelak berbelanja lebih.
“Dua anak akan memasuki sekolah menengah, jadi perlu lebih banyak bajet untuk beli seragam sekolah baharu dan yuran tuisyen.
“Selain membeli barang promosi menerusi platform dalam talian, saya dan suami tak beli baju raya….untuk anak sahaja,” katanya.
Sementara itu, peniaga biskut hanya mahu dikenali Lee, 56, berkata sambutan perniagaannya agak hambar berbanding tahun lalu walaupun harga kekal sama.
“Macam kurang ‘mood’ raya tahun ini. Mungkin disebabkan keadaan ekonomi. Saya pun beli (stok raya) sekadar cukup sahaja, tak beli terlalu banyak makanan laut,” katanya.