
Syarikat utiliti itu memaklumkan, bekalan kuasa di kawasan terbabit berjaya dipulihkan sepenuhnya pada 5.54 petang.
“TNB mengucapkan terima kasih atas kesabaran semua pelanggan yang terkesan dan memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi akibat dari gangguan bekalan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, TNB memaklumkan gangguan bekalan itu disebabkan oleh masalah pada loji janakuasa Edra di Melaka.
Difahamkan loji itu dikendalikan oleh anak syarikat Edra Power Holdings Sdn Bhd, yang merupakan pengeluar tenaga bebas antarabangsa.
Sebelum ini, FMT melaporkan beberapa kawasan di Lembah Klang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik.
Tinjauan di media sosial mendapati antara kawasan terbabit termasuk Seksyen 8 Petaling Jaya, Universiti Malaya, Bukit Damansara dan Mont Kiara.
Warganet turut melaporkan gangguan bekalan elektrik di pusat beli-belah utama termasuk Mid Valley Megamall, Pavilion Damansara Heights dan TRX.
Selain itu, gangguan bekalan elektrik turut dilaporkan di Johor Bahru, Melaka, Ipoh, Kuantan dan Sendayan.