
Ooi Tze Howe daripada Persatuan Pendidikan Tinggi Malaysia berkata, belia pada masa kini lebih banyak berdepan masalah pekerjaan di bawah tahap kelayakan berbanding pengangguran — iaitu terperangkap dalam pekerjaan atau gaji yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka.

Merujuk data Jabatan Perangkaan Negara, beliau mendapati berlaku peningkatan suku tahunan hampir 10% dalam kalangan belia berumur antara 15 hingga 25 tahun yang bekerja di bawah tahap kelayakan — iaitu daripada 393,500 pada suku pertama kepada 432,100 pada suku kedua 2025.
“Bajet harus beri tumpuan untuk tarik pelaburan dalam sektor pertumbuhan mampan, mengukuhkan perniagaan tempatan serta hab syarikat pemula, dan biayai program pemerkasaan semula kemahiran dalam bidang kecerdasan buatan (AI), penyelesaian masalah dan penguasaan bahasa Inggeris,” katanya kepada FMT.

Pengurus advokasi Architects of Diversity, Amin Mubarak berkata Belanjawan 2026 perlu mengutamakan usaha jangka panjang dalam pemahiran semula serta jalinan dengan industri.
“Automasi, kecerdasan buatan dan transformasi digital sedang membentuk semula masa depan pekerjaan, maka belia Malaysia memerlukan latihan semula secara berterusan dan pembelajaran sepanjang hayat, bukan sekadar kelayakan sekali sahaja.
“Majikan juga menilai kebolehan menyesuaikan diri, pemikiran kritis dan kerja berpasukan, selain kemahiran teknikal seperti pembangunan perisian, analisis data dan keselamatan siber,” katanya.
Amin turut menekankan keperluan menambah peruntukan untuk memodenkan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), khususnya bagi mereka yang tidak memiliki ijazah universiti.
“TVET mesti selari dengan keperluan industri dalam sektor yang pesat berkembang seperti teknologi, tenaga hijau dan perkhidmatan digital,” katanya.
Di luar soal pekerjaan, Ooi dan Amin sama-sama menekankan kepentingan menangani isu kesihatan mental dan kesejahteraan.
Amin merujuk model antarabangsa, seperti Kanada yang memperluas platform kesihatan mental dalam talian ke seluruh negara, menjadikan kaunseling boleh diakses melalui aplikasi dan telefon, khususnya untuk belia di luar bandar.
“Jika Belanjawan 2026 ambil inisiatif sama, seperti luaskan akses kesihatan mental dalam talian dan beri ganjaran kepada majikan yang utamakan kesejahteraan mental, Malaysia dapat jadikan rawatan kesihatan mental lebih mampu milik, mudah diakses serta kurang stigma, sekali gus bantu golongan belia bina daya tahan untuk masa depan,” katanya.
Sementara itu, Ooi beri amaran bahawa inflasi perubatan yang meningkat boleh mendorong golongan belia mendapatkan rawatan di hospital awam yang sudah sesak dengan pesakit.
“Insurans swasta semakin tidak mampu milik oleh golongan belia, manakala hospital awam sedia ada berdepan dengan jumlah pesakit yang terlalu ramai serta sumber yang terhad,” katanya.