
Ketua Penerangan Joniston Bangkuai berkata Hamzah Zainudin, yang pernah menjadi menteri kerajaan persekutuan, tahu bahawa penyelesaian tuntas kepada masalah sekian lama ini adalah Putrajaya memberikan kepada Sabah geran 40% daripada keseluruhan hasil yang dikutip kerajaan persekutuan daripada negeri itu.
Justeru, Joniston menepis komen timbalan pengerusi PN itu berhubung kedaifan prasarana di Sabah sebagai politik semata-mata.
“Kenyataan beliau bukan bertujuan untuk membantu menyelesaikan masalah tetapi lebih kepada mencipta persepsi negatif demi meraih ‘mileage’ politik untuk parti beliau,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Hamzah menggesa rakyat Sabah mengundi untuk menukar kerajaan negeri pada PRN akan datang, selepas beliau berkunjung ke negeri itu.
Katanya, rakyat Sabah sering merungut mengenai isu bekalan elektrik dan air, dan keadaan jalan raya.
Salah satu parti komponen PN, iaitu PAS, mempunyai Adun yang dilantik oleh ketua menteri, iaitu Aliakbar Gulasan.
“Sebagai pemimpin kanan dalam kerajaan pusat sebelum ini, Hamzah sudah tentunya tahu penyelesaian tuntas kepada masalah legasi prasarana di Sabah ialah Putrajaya menunaikan hak Sabah,” kata Joniston, yang menambah Sabah sentiasa memperjuangkan perkara ini.
“Sabah tidak akan ada isu masalah kedaifan prasarana jika tuntutan 40% itu, seperti yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan, dilaksanakan.”
Perkongsian hasil antara punca perselisihan dengan pemimpin politik Sabah selama ini, dengan angka 40% dianggap sebagai tahap yang akan menguji hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Tuntutan Sabah adalah berdasarkan Perlembagaan yang menyatakan bahawa kerajaan persekutuan hendaklah membuat pemberian kepada Sabah dan Sarawak setiap tahun kewangan.
Pemberian adalah 2/5, atau 40%, daripada jumlah yang melebihi hasil bersih yang diperoleh pada 1963.
Persatuan Undang-undang Sabah bagaimanapun berpandangan bahawa pemberian ini tertakluk pada semakan, menurut Perkara 112D, dan formula 40% itu bukan sesuatu yang tidak boleh diubah sama sekali.
Sementara itu, Joniston mempertahankan usaha kerajaan pimpinan GRS menangani isu prasarana, antaranya menerusi Belanjawan Sabah 2025 yang memperuntukkan RM2.6 bilion untuk prasarana dan utiliti asas.
“RM424.53 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan dan naik taraf jalan raya, termasuk di kawasan luar bandar. RM729.79 juta disalurkan kepada Jabatan Air Sabah untuk memastikan peningkatan bekalan air bersih,” katanya.