Muhyiddin mahu serah jawatan presiden kepada saya, kata Hamzah

Muhyiddin mahu serah jawatan presiden kepada saya, kata Hamzah

Timbalan presiden Bersatu berkata, hasrat itu 'diketahui umum', namun terpulang kepada presiden Bersatu tentukan bila peralihan kuasa berlaku.

muhyiddin hamzah
Bersatu dilanda kemelut dalaman antara kem yang menyokong Presiden Muhyiddin Yassin (kanan) dengan yang menyokong timbalannya, Hamzah Zainudin.
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berhasrat menyerahkan jawatan tertinggi parti itu kepadanya apabila beliau berundur nanti.

“Umum diketahui bahawa presiden (Muhyiddin) mahu serahkan ‘baton’ kepada saya apabila beliau bersedia,” kata timbalan presiden Bersatu itu dalam wawancara bersama BFM baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Larut itu menegaskan, persoalan mengenai bila peralihan kepimpinan itu akan berlaku terserah sepenuhnya kepada Muhyiddin, menyamakannya dengan acara lari berganti-ganti.

“Persoalannya adalah peralihan, dan itu bergantung kepada presiden, bila beliau mahu serahkan ‘baton’ itu,” katanya.

“Bagi saya, terpulang kepadanya (Muhyiddin). Seperti lari berganti-ganti 4×100, mungkin saya pelari kedua dan beliau yang pertama. Saya hanya menunggu (selagi beliau presiden). Sebaik sahaja beliau serahkan ‘baton’, saya akan ambil dan lari.”

Beliau mengulas soalan sama ada terdapat perbincangan dengan Muhyiddin untuk beliau mengambil alih pucuk pimpinan Bersatu.

Hamzah sekali lagi menegaskan sokongan tidak berbelah bahaginya kepada Muhyiddin sebagai presiden Bersatu, sepertimana yang dizahirkan dalam ucapannya pada perhimpunan agung tahunan parti baru-baru ini.

“Tidak sepatutnya timbul lagi sebarang persoalan kerana saya telah beri sokongan penuh kepada presiden saya,” katanya.

Mengulas dakwaan wujudnya ‘pembersihan politik’ dalam Bersatu susulan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Hamzah menyifatkannya sekadar pertelingkahan dalaman yang biasa berlaku dalam mana-mana parti politik.

“Saya harap perbalahan politik dalaman mengenai kepimpinan (parti) akan segera berakhir, tidak berlarutan,” ujarnya.

Berhubung spekulasi wujudnya tiga kem berbeza berpihak kepada Muhyiddin, Setiausaha Agung Azmin Ali dan dirinya sendiri, Hamzah berkata, ini hanya membuktikan Bersatu mempunyai barisan pemimpin yang berkaliber.

“Saya gembira kerana ia membuktikan adanya pemimpin dalam Bersatu yang diiktiraf rakyat,” katanya.

Ketegangan dalam Bersatu semakin memuncak susulan tindakan disiplin terhadap Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal, di tengah-tengah perebutan kuasa yang jelas antara Muhyiddin dan Hamzah.

Lembaga disiplin Bersatu turut memecat empat ketua bahagian, iaitu Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya); Faizal Asmar (Pengerang); Fadhli Ismail (Ipoh Timur); dan Isa Saidi (Ampang).

Wan Saiful sebelum ini menuduh beberapa individu yang rapat dengan Muhyiddin menjadi punca keretakan hubungan dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti, menamakan Azmin dan Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz.

Dalam pada itu, Muhyiddin berdepan gesaan agar meletak jawatan presiden, termasuk daripada Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah, yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.