5 disyaki tipu dana pelaburan awam RM104 juta direman

5 disyaki tipu dana pelaburan awam RM104 juta direman

Suspek termasuk empat ahli lembaga pengarah syarikat ditahan semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
PETALING JAYA:
Lima individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit penipuan melibatkan dana pelaburan awam dianggarkan RM104 juta.

Sumber berkata, suspek termasuk empat ahli lembaga pengarah syarikat berusia lingkungan 50-an hingga 60-an ditahan sekitar 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

“SPRM telah menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan berunsur jenayah dilakukan oleh sebuah syarikat pemegang amanah berlesen bawah Kementerian Kewangan dan Bank Negara.

“Syarikat tersebut didapati menggunakan dana dikumpul daripada pelabur untuk kepentingan peribadi individu yang bersekongkol dalam kegiatan jenayah ini,” katanya.

Sumber berkata, sejumlah RM104 juta dikesan diselewengkan daripada syarikat tersebut ke beberapa syarikat persendirian dimiliki oleh proksi.

Perintah reman selama tujuh hari hingga 21 Jan dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan tangkapan yang dilakukan dalam operasi digelar Op Trust dan kes disiasat bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Katanya, modus operandi kegiatan itu memerlukan kepakaran tinggi dalam kalangan pegawai SPRM untuk menjejak aliran kewangan.

“Siasatan ini juga bertujuan membantu kerajaan mengukuhkan kepercayaan awam terhadap badan pengawal selia yang mengeluarkan lesen untuk syarikat pemegang amanah, selain mewujudkan platform yang bersih dan selamat untuk bakal pelabur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.