Mahkamah tolak rayuan CEO GISBH, isteri cabar penahanan bawah Sosma

Mahkamah tolak rayuan CEO GISBH, isteri cabar penahanan bawah Sosma

Mereka memfailkan permohonan itu pada 30 Okt lalu selepas dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Nasiruddin Ali
Nasiruddin Mohd Ali, Azura Md Yusof dan Suhaimi Mohd Sani pada Oktober lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini menolak permohonan habeas corpus Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya, Azura Md Yusof.

Permohonan yang difailkan pada 30 Okt lalu dibuat bagi mencabar penahanan mereka mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012, selepas dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Hakim Abu Bakar Katar berkata, pemohon-pemohon berada dalam Waran Menahan yang sah dan sekali gus Writ Habeas Corpus telah menjadi akademik.

“Mahkamah ini membenarkan bantahan awalan dibangkitkan Peguam Kanan Persekutuan mewakili responden.

“Mahkamah ini berpendapat semasa Writ Habeas Corpus di failkan pemohon tidak berada dalam tahanan salah atau tahanan tidak wajar,” katanya semasa prosiding berkenaan, menurut Kosmo!.

Dalam pada itu, peguam pemohon Rosli Kamaruddin berkata pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Persekutuan, minggu depan.

Pada prosiding hari ini, responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mohd Zain Ibrahim dan Peguam Persekutuan Mohamad Firdaus Sadani Ali dan Nur Syahidah Mohamad Kamil.

Selain Rosli, pemohon turut diwakili barisan peguam, Najib Zakaria, Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah, Hasnan Hamzah, Zaim Rosli, Luqman Zainal, Schanni Feizal, Zahier Rosli.

Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin, Azura dan seorang lagi individu, Suhaimi Mohd Sani, 28, didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.

Turut didakwa anak bekas pengasas Al-Arqam Mohammad Adib At-Tamimi Asaari, 32, dan 19 individu lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.