Anwar percaya isu Petronas-Petros selesai

Anwar percaya isu Petronas-Petros selesai

Perdana menteri berkata tidak ada kemusykilan dalam perkara dasar yang perlu dicurigakan kerana Akta Kemajuan Petroleum 1974 terpakai untuk seluruh negara.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang media di akhir lawatan ke Emiriah Arab Bersatu. (Gambar Bernama)
ABU DHABI:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau percaya isu berkaitan Petronas dan Petros mengenai hak pengagihan gas di Sarawak diselesaikan menerusi beberapa siri rundingan termasuk pertemuannya dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Beliau berkata, tidak ada kemusykilan dalam perkara dasar yang perlu dicurigakan kerana Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 terpakai untuk seluruh negara dan perkara itu diterima kerajaan Sarawak dan Petros.

“Tetapi kita (kerajaan persekutuan) terima juga kenyataan Petros diwujudkan untuk beri peluang kepada Sarawak meneroka program cari gali dan pengagihan gas di Sarawak,” katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang media di akhir lawatan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam pada itu, Anwar juga berkata Ordinan Pengagihan Gas 2016 Sarawak tidak akan menggantikan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang Persekutuan lain, justeru, kedudukan Petronas kekal tidak terjejas.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini, wujud suara-suara yang menyatakan kebimbangan mengenai hubungan Petronas dan Petros, serta ada beberapa siri perbincangan melibatkan peguam negara yang turut melibatkan Petros dan Petronas.

Anwar berkata, beliau telah bertemu premier Sarawak dan mereka menyelesaikan isu pengagihan gas di Sarawak.

“PDA 1974 terus akan diterima sebagai rangka kerja komprehensif bagi tadbir urus industri minyak dan gas di Malaysia. Keputusan kita, semua perjanjian yang telah termeterai tidak diganggu dan jika diganggu akan mempersulit hubungan dengan syarikat besar antarabangsa…ini telah diterima,” katanya.

Anwar berkata, walaupun telah diberikan kepada Petros untuk menjadi agregator gas dari segi kuasa perundangan namun Petros turut memperakui tidak akan mengganggu perjalanan sedia ada Petronas.

“Ini sama seperti Petronas yang ada kuasa di seluruh negara tetapi beri laluan, pengecualian kepada Sarawak dalam bidang pengagihan gas untuk keperluan dalam negeri. Inilah bidang kerjasamanya.

“Ada perbincangan (mengenai) inisiatif baharu yang diambil Premier Abang Johari. Sama seperti Petronas lakukan tidak pernah ada sikap kecualikan mana-mana. Petronas (untuk projek) di Sarawak akan libatkan Petros, dan Petros kalau terlibat usaha cari gali dan usaha lain termasuk hidrogen, kalau di wilayah Malaysia, akan libatkan Petronas,” katanya.

Anwar berkata, beliau tidak fikir ada masalah lain dalam keputusan itu kerana rundingan bagi projek lain adalah rundingan komersial.

“Dasar kita terima, hormati hak Petronas dan hak Petros dalam beberapa hal di Sarawak,” katanya.

Anwar berkata, tidak seharusnya ada kebimbangan untuk memberi ruang kepada Petros sebagai agregator gas tunggal di Sarawak kerana sebarang projek berkaitan termasuk yang membabitkan pembiayaan syarikat besar pasti melibatkan Petronas di Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.