
Tertuduh yang juga bapa kepada enam anak, Mohd Nasir Othman, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting, lapor Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki dua senapang tertera tulisan ‘Combact Machine Cal 7-8MM water bullet’ dan ‘Property Of US Govt M4AI Carbone Cal 5.56MM’ tanpa lesen yang sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Sungai Ara, Bayan Lepas, dekat sini, pada 9 pagi, 6 Januari lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan penjara sehingga hingga satu tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya R Lushani yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh selain barang kes dilupuskan selepas tamat tempoh rayuan.
Peguam Edmund Anthony Hermon dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu hukuman denda minima dengan alasan tertuduh bekerja sebagai penghantar barang dengan pendapatan bulanan RM2,000 selain perlu menyara dua isteri dan enam anak yang masih bersekolah.
“Tertuduh tidak tahu memiliki senapang tiruan itu merupakan satu kesalahan selain senjata itu tidak boleh mendatangkan kecederaan terhadap sesiapa kerana pelurunya berasaskan ‘water base’,” katanya.
Sementara itu, tertuduh memaklumkan mahkamah bahawa senapang tiruan terbabit dibeli menerusi aplikasi TikTok untuk bermain dengan anaknya berusia 11 tahun.
Dia kemudiannya dikenakan hukuman denda RM1,800 dan satu bulan penjara, jika gagal bayar.