
Ketua Pengarah Zakaria Shaaban berkata sindiket mengeksploitasi acara sukan untuk membawa pekerja Bangladesh ke Malaysia secara haram, lapor New Straits Times.
Menurutnya, pihak berkuasa mengesan 18 warga Bangladesh yang didakwa atlet Oktober lalu, merampas pasport dan “surat jemputan” menyertai kejohanan sukan.
Imigresen turut menahan tiga suspek anggota sindiket yang mengenakan bayaran RM2,000 dan RM5,000 kepada setiap warga Bangladesh itu.
Dua hari selepas tangkapan itu, imigresen menghalang 20 lagi warga Bangladesh memasuki Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan mengeluarkan arahan pengusiran segera.
Zakaria berkata, 23 warga Bangladesh masuk ke Malaysia pada 15 Jan 2023 dengan menyamar atlet dan cuba mendaftar untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
Tetapi, permohonan mereka ditolak kerana gagal memenuhi syarat program.
Beliau berkata imigresen akan bekerjasama dengan agensi lain untuk pengesahan kesahihan permohonan sukan Bangladesh dan sedang mengumpul risikan bagi membongkar baki operasi sindiket.
“Kami juga sedang mengesan warga Bangladesh lain yang memasuki Malaysia menggunakan kaedah sama dan dipercayai tinggal lebih masa.”
Tindakan ini susulan kejadian sama September lalu, di mana imigresen menghantar pulang 29 warga Pakistan yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi atas dakwaan mengambil bahagian dalam acara larian.
Muslihat mereka terbongkar apabila pegawai menemui pakaian tradisional Pakistan, tetapi tiada peralatan olahraga dalam bagasi.