Ibu, teman lelaki disyaki bunuh budak 7 tahun

Ibu, teman lelaki disyaki bunuh budak 7 tahun

Mangsa dipercayai maut akibat pendarahan dalam kepala kerana dipukul objek keras secara berulang.

azam ismail
Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail, berkata teman lelaki ibu kandung mangsa positif amphetamine dan methamphetamine dengan kedua-dua direman tujuh hari bermula hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kanak-kanak berusia tujuh tahun maut akibat pendarahan kepala disyaki didera ibu kandung dan teman lelaki, dalam kejadian Taman Bukit Ampang, Selangor.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail, berkata mangsa turut mengalami kesan lebam pada muka, leher, tangan, dan kaki.

Katanya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya menahan ibu kandung dengan teman lelaki, masing-masing berusia 25 dan 36 tahun, sekitar 5.15 petang semalam.

Azam berkata, suspek lelaki disahkan positif dadah amphetamine dan methamphetamine selain mempunyai tiga rekod lampau.

“Mangsa disyaki dipukul dengan benda keras dan tumpul secara berulang dan meninggal dunia di rumah.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian kanak-kanak tersebut adalah kerana pendarahan dalam kepala,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 17 Jan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.