Titah adendum: Menteri Umno sedia beri keterangan di mahkamah

Titah adendum: Menteri Umno sedia beri keterangan di mahkamah

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno juga akan terus memohon perkenan Agong supaya Najib Razak diberikan pengampunan penuh.

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Umno yakin Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil menilai keabsahan kewujudan titah adendum berkait tahanan rumah Najib Razak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Umno dalam kerajaan perpaduan bersedia memberi kerjasama kepada Mahkamah Tinggi jika diperlukan memberi keterangan berkait titah adendum Najib Razak.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti yakin mahkamah tidak terikat dan adil bagi mengesahkan titah tersebut.

“Umno yakin bahawa Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan titah adendum tersebut.

“Menteri-menteri yang mewakili Umno juga bersedia untuk memberi kerjasama kepada Mahkamah Tinggi kelak jika diperlukan untuk memberikan keterangan,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dibuat selesai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi.

Katanya, Umno juga akan terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi Najib diberikan pengampunan penuh dalam sabitan kes SRC International.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menyangkal beliau menyembunyikan titah adendum berkait tahanan rumah bekas presiden Umno itu.

Katanya, Zaliha yang juga ahli Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menjelaskan, beliau seperti ahli Jemaah Menteri tidak pernah melihat dokumen terbabit.
Pada Isnin, Najib yang juga bekas perdana menteri, memperoleh kebenaran Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membenarkannya menjalani baki pemenjaraan bawah tahanan rumah.

Beberapa pihak menuduh kerajaan sorok titah tersebut, selepas peguam Najib, Shafee Abdullah, mengemukakan kepada mahkamah surat daripada Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang yang mengesahkan kewujudan titah adendum itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.