
Hamzah yang membayangkan penyertaan ke ‘rumah baharu’ dalam masa terdekat berkata ia tidak semestinya merujuk kepada penubuhan parti baharu sebaliknya boleh membabitkan penyertaan dalam parti sedia ada, lapor Utusan Malaysia.
Malah beliau tidak menolak kemungkinan PAS mungkin menjadi ‘rumah baharunya’.
Ahli Parlimen Larut itu turut menolak dakwaan tindakannya kekal dalam PN sebagai tidak wajar dengan mendakwa 18 daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu menyokongnya.
“Saya terus kekal bersama PN dan komited memperkukuh kedudukan gabungan ini,” katanya selepas satu program pidato di Kuala Nerus, Terengganu, malam tadi.
Hamzah dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu dalam krisis kepimpinan parti itu terutama membabitkan desakan supaya Presiden Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
Sebelum ini, Muhyiddin berkata beliau akan menolak sekiranya Hamzah bersama parti baharunya ingin bekerjasama dengan PN.
Menurut bekas perdana menteri itu, selepas dikhianati, beliau perlu lebih berhati-hati kerana tidak mahu perkara sama berulang.
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Abdul Aziz pula berkata Hamzah dan kumpulannya boleh menyertai Rumah Bangsa serta Kolaborasi Agung digagaskan Umno, sekali gus melupakan hasrat menyertai PN.
Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Shahidan Kassim menasihatkan supaya parti baharu Hamzah itu menyertai gabungan kukuh seperti PN.