Bakat terbaik mesti kemudi jika ingin Melayu berjaya, kata ahli ekonomi

Bakat terbaik mesti kemudi jika ingin Melayu berjaya, kata ahli ekonomi

Yeah Kim Leng kata kejayaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 juga bergantung pada kebertanggungjawaban.

pasar pudu
Barjoyai Bardai kata perlu ada pelan induk yang tuntas untuk bantu orang Melayu mahir keusahawanan dan capai kemandirian kewangan.
PETALING JAYA:
Bakat terbaik, tindakan tegas, dan mengkaji inisiatif lalu secara jujur adalah penting dalam memastikan usaha meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Melayu membuahkan hasil yang diingini, menurut pakar ekonomi.

Yeah Kim Leng daripada Universiti Sunway memberikan contoh teraju GLC haruslah orang yang berkebolehan dan boleh dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka, manakala Barjoyai Bardai daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata inisiatif kerajaan mesti disertai tindakan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Aira Azhari, berkata sebarang langkah mengukuhkan ekonomi orang Melayu perlu dimulakan dengan penilaian inisiatif Bumiputera seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mengukur keberkesanannya.

Mereka mengulas peringatan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, yang khuatir nasib rancangan terbaru — Putera35, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Ogos tahun lalu — mungkin akan seperti rancangan-rancangan lain.

Zaid, dalam satu catatan pada Rabu, khuatir Putera35 hanya akan beri manfaat kepada kumpulan elit yang dikaitkan dengan hartawan, kerabat diraja, dan ahli politik.

Sasaran Putera35 atau Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 adalah meningkatkan sumbangan perusahaan Bumiputera kepada KDNK daripada 8.1% pada 2022 kepada 15% pada 2035, dengan membuka ruang dan peluang kepada Bumiputera untuk memanfaatkan sektor dan industri yang diberi tumpuan oleh kerajaan.

Anwar, yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera bulan ini, menyeru GLC dan GLIC melakukan lebih banyak lagi untuk memacu inovasi dan pembangunan dalam masyarakat Bumiputera.

Yeah berkata ciri-ciri yang diperlukan, seperti kebertanggungjawaban dan bakat, sudah ada di sektor swasta, dan menyumbang kepada kadar kejayaan yang lebih tinggi.

“Tanpa kepimpinan yang baik, tidak akan ada inovasi. Pemimpin yang kurang kebertanggungjawaban atau tidak berkemampuan tidak boleh dikekalkan kerana kegagalan mereka akan ‘ditanggung’ oleh kerajaan. Mereka harus dipertanggungjawabkan, sama seperti di sektor swasta,” katanya kepada FMT.

Yeah berkata GLC seperti Petronas dan badan berkanun seperti KWSP mempunyai rekod tadbir urus yang terbukti baik serta dengan model perniagaan global kerana mereka mempunyai pemimpin berkebolehan yang memainkan peranan kritikal dalam memastikan kejayaan dan inovasi.

“Kami tidak kekurangan bakat. Dengan kebertanggungjawaban dan ketelusan yang tinggi, Putera35 boleh berjaya memartabatkan perniagaan Melayu,” tambahnya.

Barjoyai berkata mereka yang bertanggungjawab mendorong inisiatif Putera35 harus fokus dan tidak boleh ‘cakap kosong’ apabila berbicara tentang menyokong perniagaan mikro dan kecil Bumiputera, memandangkan mereka menggaji sebahagian besar tenaga kerja.

“Perlu ada suatu pelan induk yang tuntas untuk membangunkan kemahiran keusahawanan dan melengkapkan belia tidak mahir dengan kemandirian kewangan,” katanya kepada FMT. “Jika dilakukan dengan betul, hasil yang diinginkan boleh dicapai dalam tempoh lima hingga 10 tahun.”

Nilai dengan jujur

Aira berkata DEB memainkan peranan penting dalam membolehkan mobiliti sosial orang Melayu, khususnya dalam pendidikan dan pembiayaan mikro bagi perniagaan kecil.

“Tetapi memandangkan dasar itu dikritik, dengan pengkritik mendakwa ia disalahgunakan untuk kepentingan golongan elit, legasi dasar itu perlu dikaji secara jujur sekarang,” katanya kepada FMT.

Penambahbaikan yang perlu dilakukan harus dilaksanakan sektor demi sektor, tambahnya.

DEB ialah program tindakan afirmatif yang dirumus susulan rusuhan 13 Mei 1969 dan diterima pakai pada tahun 1971 untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula ekonomi agar identiti kaum tidak dikaitkan dengan fungsi ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.