
Wan Agyl Wan Hassan, pengasas badan pemikir pengangkutan, MY Mobility Vision, berkata cadangan itu dapat mengurangkan kos operasi ditanggung pengusaha dan penjimatan itu boleh disalurkan ke arah penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam.

Namun, katanya kerajaan perlu mewujudkan mekanisme pelaporan lebih kukuh supaya ‘aliran’ kos dijimatkan pengusaha itu dapat dipantau serta benar-benar memberi manfaat kepada pengguna.
“Sebahagian daripada penjimatan ini mesti disalurkan kepada penambahbaikan perkhidmatan bagi memastikan kebertanggungjawaban kepada rakyat.
“Pengendali hanya layak menerima tarif ini jika mereka memenuhi matlamat tertentu. Antaranya seperti meningkatkan kekerapan tren, memperluas laluan ke kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan atau memastikan tambang kekal stabil,” katanya kepada FMT.
Wan Agyl berkata, kerajaan juga harus memastikan tarif khas itu tidak membawa kepada kenaikan kos elektrik untuk isi rumah atau sektor lain.
“Tarif elektrik ini boleh menyokong pengendali sambil meningkatkan pengalaman pengguna pengangkutan awam jika dilaksana dengan teliti.
“Tetapi tanpa kawalan betul, ia berisiko menjadi penyelesaian jangka pendek dan bukannya transformasi jangka panjang diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) turut menggesa kerajaan mempercepat pelaksanaan tarif elektrik tersebut kerana diyakini mampu menangani masalah kenaikan tambang penumpang yang mungkin berlaku akibat peningkatan kos operasi.

“Kami harap harga tiket penumpang dapat dikekalkan atau boleh turun. Laksana segera mungkin. Tak perlu tunggu lama,” kata presidennya Ajit Johl sambil menyifatkan ia juga usaha mendorong kelestarian alam sekitar.
Selasa lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mencadangkan tarif elektrik khas bagi sektor pengangkutan awam bagi mengurangkan beban pengusaha yang kini terbeban kerana dicaj tarif sama seperti syarikat perniagaan biasa.
Katanya, caj semasa adalah tinggi di mana pengusaha seperti transit aliran massa (MRT), transit aliran ringan (LRT) dan Prasarana membelanjakan 30% hingga 35% kos operasi mereka untuk elektrik manakala Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggunakan 35% kos operasi susulan sistem tarif sedia ada.