Belanjawan pengangkutan bukan perubahan besar tapi arah betul, kata pakar

Belanjawan pengangkutan bukan perubahan besar tapi arah betul, kata pakar

Wan Agyl Wan Hassan berkata ia menumpukan dalam memastikan kebolehpercayaan pengangkutan awam dan menambah baik pengalaman pengguna, tetapi perbelanjaan keseluruhan masih terlalu konservatif.

bas rapidkl bus
Malaysia mesti mula menganggap pengangkutan awam sebagai pelaburan produktiviti, bukan kos sosial, kata Wan Agyl Wan Hasan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Belanjawan 2026 untuk pengangkutan berada di landasan yang betul dengan inisiatif yang bertujuan memperbaiki perjalanan harian rakyat, walaupun mungkin belum menjadi satu perubahan besar, kata seorang pakar.

Perunding pengangkutan, Wan Agyl Wan Hassan, berkata belanjawan kali ini memberi tumpuan kepada memastikan kebolehpercayaan pengangkutan awam dan menambah baik pengalaman pengguna, sebagai ‘langkah besar ke hadapan’ serta peralihan daripada tumpuan biasa terhadap projek mega yang gah.

Wan Agyl, pengasas badan pemikir My Mobility Vision, merujuk kepada peruntukan dana bagi pembelian tren LRT baharu, bas dan Van On-Demand — terutamanya kerana perkhidmatan bas telah lama diabaikan sejak beberapa dekad lalu.

Beliau berkata perbelanjaan keseluruhan kerajaan terhadap pengangkutan awam masih agak konservatif dan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Pengangkutan awam hanya merangkumi kurang daripada 3% perbelanjaan pembangunan negara, sedangkan negara yang mempunyai sistem mobiliti kukuh melabur sekurang-kurangnya dua kali ganda jumlah itu… jadi walaupun niatnya betul, skala pelaksanaannya masih belum sepadan dengan cabaran,” katanya kepada FMT.

“Jika Malaysia mahu mengurangkan kesesakan dan menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama, kita mesti menganggapnya sebagai pelaburan produktiviti, bukan kos sosial.”

Wan Agyl memberi amaran bahawa peruntukan RM200 juta bagi perkhidmatan bas henti-henti tidak akan memberi impak besar melainkan dana tersebut diurus dengan betul. Katanya, orang ramai menilai mobiliti berdasarkan masa.

“Kita tidak boleh sekadar beli lebih banyak bas; kita perlu pastikan ia beroperasi dengan lebih baik dan dipantau prestasinya. Singapura berjaya dalam hal ini — mereka membayar pengendali berdasarkan prestasi, dengan penalti bagi perkhidmatan yang lewat atau tidak boleh diharap. Itulah yang memastikan sistem mereka sentiasa menepati masa.

“Kecekapan dalam pengangkutan awam memerlukan tadbir urus yang cekap. Menambah kenderaan semata-mata tidak menyelesaikan masalah ketidakefisienan. Yang kurang ialah penyelarasan,” katanya sambil mengulangi gesaan supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kini dimansuhkan, dapat dihidupkan semula.

Beliau mencadangkan kerajaan mula mewujudkan ‘SPAD yang direformasi’ untuk memantau kawasan Lembah Klang atau Greater Kuala Lumpur, memandangkan banyak agensi dan pihak berkuasa tempatan kini beroperasi secara berasingan.

“Kita perlukan satu badan pusat yang boleh merancang, menyepadukan dan menilai prestasi semua mod pengangkutan. Dan kita mesti mula mengukur perkara yang benar-benar penting — masa yang dijimatkan, ketepatan masa ketibaan, dan kepuasan penumpang. Saya ingin melihat papan pemuka mobiliti nasional yang melaporkan angka-angka ini secara terbuka.”

Keselamatan jalan raya sebahagian daripada pembangunan negara

Wan Agyl memuji ‘kejayaan segera’ di bawah belanjawan tersebut yang bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya, khususnya pemasangan lampu LED di kawasan kerap kemalangan serta insentif untuk pemasangan peranti had laju pada kenderaan berat.

“Bagus akhirnya kita melihat keselamatan dianggap sebagai sebahagian daripada pembangunan negara, bukan sekadar isu penguatkuasaan,” katanya.

Namun, beliau menggesa Putrajaya mencontohi pendekatan Australia yang mewujudkan rantaian tanggungjawab dalam kes kemalangan, terutama melibatkan kenderaan berat. “Semua pihak dalam rantaian logistik — daripada pengendali hingga pemilik kargo — perlu dipertanggungjawabkan atas amalan tidak selamat.”

Beliau turut mencadangkan penubuhan papan pemuka keselamatan nasional yang menampilkan data masa nyata mengenai kemalangan, bagi membolehkan penambahbaikan berterusan terhadap keselamatan jalan raya, dan bukannya tindakan spontan selepas tragedi besar.

Dana pengangkutan awam

Ketika Parlimen membahas dan meneliti belanjawan, Wan Agyl menggesa supaya diwujudkan dana pengangkutan awam dengan matlamat memastikan pembiayaan yang stabil bagi kontrak perkhidmatan, subsidi tambang dan projek inovasi.

Beliau mencadangkan dana ini boleh disokong oleh hasil saman trafik dan caj kesesakan, bagi mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan tahunan yang menyukarkan perancangan jangka panjang.

Wan Agyl turut mencadangkan dasar penghapusan kenderaan berat lama, tidak selamat dan tidak efisien dalam sektor komersial, berpandukan pematuhan keselamatan serta piawaian pelepasan asap.

Beliau juga menyarankan supaya diwujudkan dana inovasi kecil tetapi strategik bagi menyokong projek rintis atas permintaan di bawah Kementerian Pengangkutan, termasuk perancangan laluan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan integrasi data.

“Belanjawan 2026 akhirnya membetulkan perkara asas. Langkah seterusnya ialah membina institusi dan insentif untuk mengekalkan pembetulan itu. Arah tuju kita sudah betul, tetapi kini kita perlukan keberanian untuk mereka bentuk semula sistem itu sendiri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.