Belanjawan 2026 bukti komitmen kerajaan perkasa pengangkutan awam, kata Prasarana

Belanjawan 2026 bukti komitmen kerajaan perkasa pengangkutan awam, kata Prasarana

Prasarana menyambut baik RM1 bilion bagi menggantikan 26 tren LRT Laluan Kelana Jaya.

LRT-PRASARANA-RAPID KL
Prasarana berikrar terus meningkatkan kecekapan operasi dengan memfokuskan usaha penambahbaikan infrastruktur, naik taraf sistem dan peningkatan tahap perkhidmatan secara berterusan.
PETALING JAYA:
Peruntukan dan inisiatif bawah Belanjawan 2026 membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh serta memperkasa sektor pengangkutan awam negara demi manfaat rakyat.

Justeru, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengalu-alukan peruntukan RM1 bilion bagi menggantikan 26 tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya untuk meningkatkan kecekapan operasi laluan paling sibuk di Lembah Klang.

“Prasarana juga sambut baik sokongan kerajaan bagi LRT Laluan Shah Alam yang kini memasuki fasa akhir kesiapsiagaan menjelang pengoperasian serta perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang dijangka beroperasi menjelang 1 Jan 2027.

“Peruntukan untuk memperoleh 100 van mobiliti khas untuk pergerakan orang kurang upaya (OKU) juga selari aspirasi Prasarana memberi perkhidmatan terbaik kepada semua rakyat Malaysia.”

Prasarana berikrar terus meningkatkan kecekapan operasi dengan memfokuskan usaha penambahbaikan infrastruktur, naik taraf sistem dan peningkatan tahap perkhidmatan secara berterusan.

Katanya, langkah itu penting demi menyediakan pengalaman perjalanan lebih selamat, selesa dan dipercayai kepada rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan kecekapan LRT Laluan Kelana Jaya akan ditingkatkan melalui penggantian 26 tren baharu dengan kos RM1 bilion.

Katanya, 310 bas baharu akan diterima Prasarana menjelang Februari depan untuk menambah kekerapan perkhidmatan di kawasan tumpuan, manakala 300 van di bawah program Demand Responsive Transit (DRT) akan mula beroperasi sepenuhnya hujung tahun ini.

Menurutnya, Prasarana juga akan menerima 1,450 bas elektrik dan 300 van elektrik secara berfasa hingga 2030 sebagai sebahagian usaha beralih ke arah capaian pengangkutan awam lebih moden serta mesra alam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.