
Suspek terbabit direman empat hari hingga 12 Jan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Sumber berkata, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an disyaki terbabit kegiatan mendapatkan surat tawaran kelulusan LKP daripada sebuah agensi tanpa memenuhi syarat ditetapkan Kementerian Pengangkutan.
“Syarikat ini dipercayai bersekongkol dengan pegawai daripada agensi berkenaan dengan menyediakan maklumat palsu bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan permohonan baharu LKP kelas lesen pembawa dengan bayaran RM3,500 setiap permohonan.
“Pihak syarikat akan membantu mana-mana pihak memalsukan dokumen seperti penyata bank dan menguruskan proses permohonan termasuk surat tawaran kelulusan (STK), surat kelulusan lanjut usia (SKLU) bagi membolehkan kenderaan perdagangan menjalani pemeriksaan awalan Puspakom,” katanya.
Semalam, ketiga-tiga suspek bersama lima lagi individu ditahan dalam Op Loader dijalankan Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Melaka dan Lembah Klang.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.