
“Pada masa ini, saya tidak nampak ia akan menjejaskan pasaran Malaysia, hanya Amerika Syarikat,” katanya merujuk kepada langkah awal pelaksanaan Meta terhadap tindakan itu dalam beberapa bulan akan datang.
Meta dalam kenyataan pada 7 Jan, mengumumkan ia akan menamatkan program semakan faktanya yang telah digunakan selama lapan tahun, bagi mengurangkan penapisan dan meningkatkan kandungan politik di Facebook, Instagram, dan Threads.
Ketua Pegawai Eksekutif Mark Zuckerberg, berkata mereka sebaliknya akan menggantikan semakan fakta dengan model nota komuniti, tidak seperti diperkenalkan Twitter (kini dikenali sebagai X), pada 2021.
Fahmi berkata, konsep nota komuniti adalah berasaskan kepada sumber ramai dan mempunyai kebaikan dan keburukan.
“Mungkin ini satu cara yang baik dan positif, kerana bila dimuat naik satu kandungan contohnya dalam Facebook, maklumat penjelasan yang diberikan termasuk oleh orang awam itu mungkin tenggelam dalam bahagian komen.
“Konsep ‘community notes’ berlandaskan konsep ‘crowdsource’. Kita lihat pro dan kontranya,” katanya.
Fahmi berkata, Meta masih belum menghubunginya, Timbalan Menteri Teo Nie Ching atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.
“Tetapi, kita akan berhubung dengan pihak Meta untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Keputusan Meta untuk membatalkan program diperkenalkan pada 2016 mengejutkan banyak pihak. Program itu sebelum ini diperkenalkan untuk membendung penyebaran maklumat salah, khususnya berorientasikan politik.