Mahkamah tolak permohonan semak larangan filem ‘Mentega Terbang’

Mahkamah tolak permohonan semak larangan filem ‘Mentega Terbang’

Pengarah dan penerbit filem itu sebelum ini memfailkan permohonan untuk membuat semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan mengharamkan tayangan filem tersebut.

mahkamah kuala lumpur
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan pengarah dan penerbit filem ‘Mentega Terbang’ berhubung larangan tayangan dan publisiti filem itu oleh Kementerian Dalam Negeri.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan pengarah dan penerbit filem ‘Mentega Terbang’ berhubung larangan tayangan dan publisiti filem itu.

Hakim Amarjeet Singh menyampaikan keputusan itu pada prosiding hari ini yang dihadiri Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali yang mewakili Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan selaku responden.

“Ini keputusan mahkamah, permohonan semakan kehakiman ditolak,” kata Amarjeet.

Peguam N Surendran yang mewakili pengarah filem itu Mohd Khairianwar Jailani dan penerbitnya Tan Meng Kheng ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan mahkamah.

Dalam permohonan yang difailkan pada Dis 2023, Khairianwar, 32, dan Tan, 37, mendakwa keputusan kerajaan mengharamkan filem itu adalah tidak rasional dan melanggar kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mereka mendakwa keputusan itu turut menjejaskan pendapatan mereka kerana filem itu tidak dapat ditayangkan atau diedarkan ke mana-mana dalam negara.

Sebelum ini Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh menterinya Saifuddin Nasution Ismail.

Filem yang ditayang menerusi platform penstriman video itu mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.

Pada 17 Jan 2024, Khairianwar dan Tan masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain menerusi filem itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.