
“Kami (Pejuang) mendukung serta menyokong penuh apa jua usaha menyatukan masyarakat Melayu. Dengan satu syarat sahaja niat di sebalik perpaduan itu mesti nyata.
“Bukankah dia (Najib) pemimpin Melayu yang menghancurkan imej masyarakat Melayu? Dia yang meleraikan Umno dan Barisan Nasional (BN) sehingga kalah dalam PRU 2018,” katanya menerusi audio siar ‘Suara Marhaen’.
Beliau berkata, masyarakat Melayu patut menyedari himpunan ‘sokong Najib’ itu hanya menggadaikan maruah dan martabat orang Melayu.
“Malu masyarakat Melayu dengan menyokong perasuah. Kalau tiada langsung integriti mana pergi kita,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam surat kepada ahli parti berkata, himpunan itu tertumpu pada rayuan Najib mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung titah adendum mengenai tahanan rumah.
Takiyuddin turut meminta ahli parti berkumpul di depan Istana Kehakiman bermula 9 pagi pada 6 Jan, iaitu pada hari Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Najib mendapatkan kebenaran mengemukakan keterangan baharu dalam rayuannya menjalani tahanan rumah.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun, daripada 12 tahun selain denda dikurangkan kepada RM50 juta oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, susulan sabitan kes SRC International.
Pada Jumaat, Ketua Polis Negara Razarudin Husain menggesa orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak, demi menghormati Yang di-Pertuan Agong.
Gesaan beliau menyusul kenyataan Istana Negara, mengingatkan semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bagi memohon pengampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.