Perjanjian JS-SEZ dijangka dimeterai Isnin

Perjanjian JS-SEZ dijangka dimeterai Isnin

Perjanjian ini akan memberi impak besar terhadap ekonomi Johor, selain mengubah landskap ekonomi negara, menurut MB.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata, JS-SEZ akan memberikan peluang ekonomi yang cerah, sekali gus memudahkan penduduk Johor dan Singapura berulang-alik setiap hari. (Gambar Bernama)
KLUANG:
Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dimeterai di Putrajaya pada Isnin, kata Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, perjanjian itu akan memberi impak besar terhadap ekonomi Johor, termasuk industri halal dan pelancongan, dan pada masa sama dapat mengubah landskap ekonomi negara.

Onn berkata, JS-SEZ akan memberikan peluang ekonomi yang cerah, sekali gus memudahkan penduduk Johor dan Singapura berulang-alik setiap hari.

“Yang untungnya, bukan orang Johor Bahru sahaja, (malah) satu Johor, satu Malaysia juga akan menerima manfaat yang pelbagai, (dari segi) ekonomi, pelancongan dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Usahawan di depan Tapak Majlis Daerah Simpang Renggam.

“Persoalannya yang penting, adakah kita bangsa Johor bersedia dengan peluang yang bakal merubah ekonomi negara … kalau tak bersedia, orang lain yang akan ambil kesempatan.”

Sebelum ini, Anwar memaklumkan perjanjian JS-SEZ yang sepatutnya dimeterai bersama kerajaan Singapura pada 9 Dis lepas ditangguhkan selepas perdana menteri Singapura dijangkiti Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.