
Karim mengakui setiap negeri berhak menggubal undang-undang yang membenarkan pesalah disebat secara terbuka, tetapi katanya, hukuman sedia ada di Sarawak sudah memenuhi keperluan negeri ketika ini.
“Melihatkan keadaan di Sarawak, saya tak rasa hukuman sebat di depan khalayak akan dilaksanakan di sini. Kami tidak perlukannya. Set hukuman sedia ada sudah memadai,” katanya kepada FMT.
Pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, undang-undang setiap negeri harus dihormati sewajarnya; persoalan sama ada hukuman itu kejam atau tidak berperikemanusiaan adalah suatu perkara lain.
Katanya, sebatan mengikut undang-undang syariah tidak sama dengan sebatan mengikut Kanun Keseksaan.
Menurutnya, sebat mengikut undang-undang syariah tidak begitu kuat dan bermaksud sebagai pencegahan.
“Jika orang awam rasa undang-undang itu kejam atau memalukan, mereka harus menyatakan kekhuatiran kepada kerajaan atau melalui media.”
Minggu lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menggesa semua negeri mengikut jejak Terengganu, memperkenalkan hukuman sebat secara terbuka bagi kesalahan syariah tertentu.
Hashim berkata demikian susulan seorang pesalah khalwat berulang, Affendi Awang, 42, disebat enam kali, di depan 90 saksi di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, Jumaat lalu.
Hukuman itu dikecam pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang menuduh Mahkamah Syariah Terengganu melangkaui bidang kuasanya.
Dua aktivis Sarawak – Francis Paul Siah daripada Movement for Change for Sarawak, dan Pengasas Saya Anak Sarawak Peter John Jaban – menolak idea itu sama sekali dengan berkata, ia amalan tidak bertamadun dan peninggalan pemerintahan kolonial abad ke-19.