Wajibkan sijil halal di Kelantan bertentangan hak cari rezeki, kata peguam

Wajibkan sijil halal di Kelantan bertentangan hak cari rezeki, kata peguam

Langkah memaksa pemilik perniagaan mendapatkan sijil halal dilihat sebagai pencabulan hak untuk menjalankan perniagaan dan mencari rezeki.

kedai makan kelantan
Kerajaan negeri Kelantan berkata sijil halal diperlukan di kedai makan untuk kepada orang Islam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan negeri Kelantan mungkin melanggar jaminan Perlembagaan mengenai hak untuk mencari rezeki jika ia memaksa restoran Muslim mendapatkan sijil halal, kata seorang peguam.

“Pensijilan halal harus menjadi pilihan bagi mana-mana orang yang membuka perniagaan,” kata peguam A Srimurugan. “Tetapi apabila anda memaksa pemilik perniagaan untuk mendapatkan pensijilan halal, ini melanggar hak mereka untuk menjalankan perniagaan yang merupakan sebahagian daripada hak mereka untuk mencari rezeki,” katanya.

Beliau berkata cadangan Kelantan itu tidak munasabah. Kos pensijilan sedemikian, yang boleh mencecah sehingga RM200,000 setiap cawangan, mungkin menjadi penghalang bagi bakal pemilik perniagaan ‘sebelum mereka boleh mula menjalankan perniagaan’, katanya.

Srimurugan mencadangkan agar kerajaan negeri Kelantan mencari jalan untuk menjadikan ‘kos sifar’ bagi perniagaan kecil mematuhi peraturan.

Beliau berkata keputusan yang dicadangkan itu boleh melanggar perlindungan Perlembagaan mengenai hak untuk mencari rezeki dan kesaksamaan di bawah undang-undang, dan melanggar perlindungan terhadap diskriminasi.

Kenyataan Srimurugam itu berbeza dengan ulasan peguam Haniff Khatri Abdulla yang sebelum ini berpendapat bahawa keputusan itu bukan satu diskriminasi kerana ia tidak akan terpakai kepada pemilik restoran bukan Islam.

“Jika ia digunakan untuk setiap perniagaan, itu adalah menyalahi undang-undang, tidak mengikut perlembagaan dan tidak Islamik,” kata Haniff, yang juga berkata bahawa peraturan itu berada dalam kuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, pakar undang-undang perlembagaan Philip Koh memberitahu FMT bahawa undang-undang kecil tempatan yang dibuat di bawah kuasa negeri masih tertakluk kepada kekangan Perlembagaan.

Beliau berkata walaupun keinginan masyarakat beragama untuk mewujudkan sempadan terhadap makanan menjadi tradisi yang telah lama wujud dalam sejarah, ‘kebebasan memilih’ harus dihormati.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan bahawa permohonan pensijilan halal adalah secara sukarela selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada September untuk mengekalkan dasar sejak 1974.

Kerajaan negeri Kelantan menjelaskan bahawa ketetapan yang dicadangkan itu hanya terpakai kepada premis untuk orang Islam manakala premis milik orang bukan Islam memerlukan sijil halal hanya jika mereka turut menjual produk kepada pelanggan Islam.

Seorang Exco kerajaan negeri berkata Majlis Perbandaran Kota Bharu akan menjadi yang pertama menguatkuasakan syarat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.