
CEO Puspakom Sdn Bhd, Mahmood Razak Bahman berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang tindakan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membasmi aktiviti tersebut.
“Puspakom tidak berkompromi dalam isu pemeriksaan kenderaan, sebagai contoh daripada 2.8 juta kenderaan perdagangan menjalani pemeriksaan setiap tahun lebih lebih 220,000 gagal ujian dijalankan.
“Puspakom mengalu-alukan dan menyokong apa-apa kaedah baharu yang akan diperkenalkan JPJ untuk menyelesaikan isu identiti tayar sesebuah kenderaan,” katanya kepada FMT.
Mahmood mengulas gesaan perunding perancangan pengangkutan Rosli Azad Khan yang mahu kerajaan segera menangani ‘ejen kosmetik’ dalam industri pengangkutan, susulan perkongsian di media sosial mengenai khidmat sewa tayar untuk ‘masuk’ Puspakom.
Akaun Facebook ‘LANDO Zawawi – Brotherhood Malaysia’ dalam satu catatan pada 26 Dis lepas, berkongsi satu gambar yang tertera ‘sewa tayar untuk masuk puspakom’.
Puspakom Sdn Bhd merupakan syarikat pemeriksaan kenderaan yang dilantik oleh kerajaan untuk menjalankan pemeriksaan mandatori bagi kenderaan komersial.
Mahmood berkata penggunaan khidmat sewa tayar adalah suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab oleh pemilik kenderaan perdagangan.
“Pengusaha kenderaan perdagangan perlu telus dalam pemeriksaan dan sedar bahawa impak menyewa tayar ini boleh mengancam keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.