92% kenderaan perdagangan belum sahkan guna SLD

92% kenderaan perdagangan belum sahkan guna SLD

Sebanyak 8,130 kenderaan perdagangan disahkan guna SLD sejak penguatkuasaan pada 1 Okt lalu.

jpj lorry
Penguatkuasaan SLD membabitkan kenderaan perdagangan dibina selepas 1 Jan 2015 bagi bas persiaran dan ekspres dengan berat muatan melebihi 5,000kg, manakala kenderaan barangan melebihi 3,500kg. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 92% kenderaan perdagangan belum membuat pengesahan pemasangan peranti had kelajuan (SLD) setakat ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata sejak penguatkuasaan penggunaan SLD pada 1 Okt lalu, sebanyak 8,130 kenderaan perdagangan disahkan menggunakan SLD membabitkan 513 bas ekspres, bas persiaran (290) dan kenderaan barangan (7,227).

“Daripada jumlah keseluruhan 108,805 kenderaan yang perlu diperiksa dalam fasa pertama penguatkuasaan penggunaan SLD, terdapat 2,015 bas ekspres, 5,951 bas persiaran dan 92,709 kenderaan barangan belum membuat pengesahan SLD.

“Dalam tempoh tiga hari pertama penguatkuasaan, sebanyak 2,180 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 385 melibatkan 144 bas ekspres dan 221 kenderaan barangan dikenakan tindakan kerana gagal mengemukakan slip pengesahan kefungsian SLD,” katanya dalam sidang media di Stesen Penguatkuasaan Gombak, di sini semalam.

Beliau berkata, penguatkuasaan SLD membabitkan kenderaan perdagangan dibina selepas 1 Jan 2015 bagi bas persiaran dan ekspres dengan berat muatan (BDM) melebihi 5,000kg, manakala kenderaan barangan dengan BDM melebihi 3,500kg.

“JPJ mengingatkan semua pemasangan, konfigurasi dan pengaktifan SLD hendaklah disahkan badan diiktiraf JPJ melalui pengeluaran slip pengesahan dan laporan kefungsian SLD.

“Pihak yang dibenar mengeluarkan dokumen ini ialah pengilang dan pengeluar kenderaan, technical service (TS) diiktiraf JPJ, bengkel atau fasiliti servis atau badan pensijilan bertauliah oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM) yang diiktiraf JPJ.”

Menurutnya, slip pengesahan itu wajib dikemukakan semasa pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer atau urusan pembaharuan permit dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan.

“Selain itu, slip berkenaan perlu disimpan dalam kenderaan serta diperbaharui setiap dua tahun.

“Tiada kompromi selepas tarikh penguatkuasaan sepenuhnya. Notis 114 (panggilan temu siasat) akan dikeluarkan kepada mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi ketetapan ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.