
Sekretariat Gempur Rasuah Sabah dalam satu kenyataan berkata mereka juga akan membuat laporan polis terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun kerana mengelirukan orang ramai.
Mereka juga tidak menolak kemungkinan membawa perkara itu ke mahkamah.
Terdahulu hari ini, Jauteh berkata, polis menolak penganjuran perhimpunan yang dijadual diadakan di hadapan Menara Kinabalu esok, bagi menjaga ketenteraman awam di negeri ini.
Katanya, kerajaan Sabah juga bakal menganjurkan program Karnival Ria di tempat serta hari yang sama esok.
Beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan berkenaan.
Bagaimanapun, sekretariat itu menuduh Jauteh tidak memahami Perlembagaan Persekutuan dan mengingatkan beliau bahawa Ketua Polis Negara Razarudin Husain pada Mac lalu pernah berkata tidak perlu permit untuk perhimpunan aman.
“Kenyataan oleh pesuruhjaya polis Sabah tidak berperlembagaan. Kami menasihati beliau untuk meneliti fakta sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Perhimpunan ini diteruskan seperti yang dirancang,” katanya.
Sekretariat Gempur Rasuah Sabah dalam kenyataan semalam memberitahu perhimpunan tersebut dijangka menarik kehadiran hingga 10,000 peserta dari seluruh negara bagi menyuarakan bantahan terhadap krisis rasuah yang didakwa mencemarkan maruah negeri ini.