Pengarah syarikat didakwa pecah amanah RM195,401

Pengarah syarikat didakwa pecah amanah RM195,401

Lee Siew Neng, 59, didakwa melakukan kesalahan itu antara 24 Feb hingga 25 Ogos 2022.

Tertuduh, Lee Siew Neng, 59, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikatnya berjumlah RM195,401, dua tahun lepas. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang pengarah syarikat menjual produk berasaskan durian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikatnya berjumlah RM195,401, dua tahun lepas.

Lee Siew Neng, 59, didakwa sebagai pengarah syarikat Musang Durian Frozen Food (M) Sdn Bhd yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan syarikat, telah mengeluarkan wang syarikat itu berjumlah RM195,401 di premis berkenaan di Taman Perindustrian Kip, Sentul di sini antara 24 Feb hingga 25 Ogos 2022.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport ke mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Aida Jaafar Mad Ariff yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan perniagaannya kurang stabil.

Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan Lee diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 17 Feb tahun depan untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.