
Menurut Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee, mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Sept bersetuju mengekalkan dasar sedia ada bahawa permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dilaksanakan oleh Jakim dan majlis atau jabatan agama Islam negeri adalah bersifat sukarela.
Mengulas tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) mewajibkan pengusaha premis makanan dan minuman memiliki SPHM, Jakim berharap PBT memberikan penjelasan yang tuntas berkaitan pelaksanaan dasar baharu itu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan pengusaha dan orang ramai.
Dasar ini terbuka kepada mana-mana pihak yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia serta perundangan yang berkuat kuasa. Malah, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang sijil melalui tahap komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal.
“Tidak ada mana-mana undang-undang yang mewajibkan mana-mana pihak untuk memohon pensijilan halal,” katanya dalam kenyataan.
Menjelaskan dasar sedia ada, Jakim berkata ia terbuka kepada mana-mana pihak yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan dan piawaian pensijilan halal serta perundangan yang berkuat kuasa.
“Malah, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang sijil melalui tahap komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal,” katanya.
Sirajuddin berkata Perenggan 3 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) memberi kuasa kepada Jakim dan majlis atau jabatan agama Islam negeri sebagai pihak berkuasa berwibawa untuk memperaku mana-mana makanan atau barang-barang atau perkhidmatan yang berkaitan dengannya adalah halal.
Menurutnya lagi, Jakim dan pihak berkuasa agama negeri sentiasa menggalakkan pengusaha memohon SPHM, dan dalam masa yang sama menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi pembimbing di peringkat persekutuan dan negeri.
Pada Khamis lalu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud, memaklumkan pemilik dan pengusaha premis makanan dan minuman di Kelantan diwajibkan memiliki sijil halal untuk pembaharuan lesen perniagaan.
Katanya, setakat ini syarat itu diwajibkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam, dan pelaksanaannya akan diperluas kepada pihak berkuasa tempatan lain di negeri itu.
Asri berkata syarat itu bukan menjadi kewajipan kepada peniaga bukan Islam di Kelantan namun mereka digalakkan berbuat demikian.
Jelasnya, SPHM tidak terpakai kepada premis khas untuk bukan Muslim, tetapi hanya akan dikenakan sekiranya premis berkenaan turut menjual produk kepada pelanggan Muslim.