Lelaki ditahan, heroin RM1.2 juta dirampas

Lelaki ditahan, heroin RM1.2 juta dirampas

Polis berkata keseluruhan dadah dirampas itu dianggarkan seberat 13.3kg yang boleh digunakan 900,000 penagih dadah.

KHAW KOK CHIN
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Khaw Kok Chin berkata seorang lelaki 48 tahun ditahan di Bukit Gasing, Petaling Jaya dalam serbuan pertama. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan dan 13.3kg heroin dianggarkan bernilai RM1.2 juta dirampas dalam dua serbuan berasingan pada Isnin lalu serta semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata seorang lelaki 48 tahun ditahan di Bukit Gasing, Petaling Jaya dalam serbuan pertama kira-kira 5.30 petang.

Beliau berkata, 20 ketulan mampat disyaki dadah jenis heroin base dianggarkan seberat 7.4kg dijumpai dalam kenderaannya.

Menurutnya, satu lagi serbuan dijalankan kira-kira 9.30 pagi semalam ke atas sebuah rumah di Puchong.

“Dalam serbuan itu, kita menjumpai 16 lagi ketulan mampat disyaki dadah jenis heroin base dianggarkan seberat 5.9kg,” katanya menurut Harian Metro.

Khaw berkata, keseluruhan dadah dirampas itu dianggarkan seberat 13.3kg bernilai RM1.2 juta yang boleh digunakan 900,000 penagih dadah.

Menurutnya, suspek mempunyai satu rekod jenayah dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ujian air kencingnya negatif dadah.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari mulai 24 hingga 30 Dis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas,” katanya sambil menambah JSJN sentiasa komited membanteras pengedaran dadah dengan lebih agresif bagi memastikan masyarakat bebas daripada ancaman musuh nombor satu negara itu.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah supaya menyalurkannya ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.