Keluarga bergelut perlu bantuan untuk bangkit semula

Keluarga bergelut perlu bantuan untuk bangkit semula

Ragunathan, isterinya Krishnavany dan anak mereka pernah berdepan pengusiran, penyakit, dan kemiskinan. Kini mereka perlu bantuan anda untuk bangkit semula.

FAMILY
Ragunathan dan Krishnavany bersama anak mereka (dari kiri) Vikneswaran, Logavharma, dan Sanjjivan. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)
SUNGAI SIPUT:
Sanjjivan yang berusia lapan tahun dan dua adiknya, Vikneswaran dan Logavharma, kelihatan seperti budak lelaki paling gembira di Kledang.

Sambil duduk di lantai dengan senyuman lebar, mereka tak sabar-sabar untuk mengerjakan buku latihan bersama-sama.

Di sebalik keriangan itu kerinduan pada kehidupan normal – seperti kanak-kanak lain di kawasan kejiranan mereka.

“Kadangkala, apabila mereka ternampak kanak-kanak lain berpakaian segak, anak lelaki saya berasa sedih,” kongsi ibu mereka, Krishnavany Rajendran, 36, dengan linangan air mata.

“Mereka minta pada saya: ‘Ibu, belikan kami kasut dan pakaian macam itu’. Saya rasa amat sedih. Saya beritahu mereka: ‘Amma dan appa tak ada duit. Kita akan beli ya bila ada duit nanti’.”

Krishnavany dan suaminya, Ragunathan Subramaniam, 39, sering diuji dengan pelbagai dugaan.

Parut besar memenuhi badan suaminya akibat lecuran ketika kanak-kanak, mengekang pergerakan tangan. Sakit kronik pada tulang belakang kerap memaksa Ragunathan mengambil cuti sakit, menyebabkan upah kerja kilang tidak tetap. Peluang untuk menjalani pembedahan terpaksa ditolak kerana terlalu berisiko.

“Dia tidak dapat mencari nafkah ketika itu. Kalau dia bekerja, kami dapat makan. Kerana itu juga kami tak dapat bayar sewa rumah,” kata Krishnavany.

BURN
Ragunathan mengalami kecederaan lecur ketika berumur empat tahun. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Apa yang paling ditakuti pasangan ini ialah kehilangan tempat tinggal, namun itulah yang hampir berlaku apabila mereka diusir.

Tuan rumah mereka, yang tidak berpuas hati kerana tunggakan sewa empat bulan belum langsai, mengunci kediaman mereka ketika keluarga ini menghadiri upacara pengebumian bapa Krishnavany.

Semua harta mereka – perabot, pakaian, dan alatan untuk sekolah anak-anak – tersimpan dalam rumah terkunci itu.

“Kami tiada tempat dituju,” kata Krishnavany. “Kami tinggal buat sementara di rumah mendiang, kemudian bersama saudara jauh. Tapi semua barang kami ada di rumah itu.”

KTICHEN
Sanjjivan bantu buat kerja rumah untuk meringankan beban ibunya. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Selama berminggu-minggu keluarga ini berpaut pada kebaikan hati sanak saudara, namun anak-anak tidak dapat bersekolah. NGO Suriana Welfare Society Malaysia menghulur bantuan untuk selesaikan tunggakan sewa.

Tuan rumah beri masa sehari kepada keluarga ini untuk keluar daripada kediaman, dan memantau ketika mereka tergesa-gesa memuatkan barangan ke dalam lori.

Keluarga yang jatuh ini ditimpa tangga apabila kejadian langgar lari memburukkan lagi kesakitan Ragunathan. Kali ini dia sama sekali tidak dapat bekerja.

“Saya tak boleh berdiri dan buat sebarang kerja,” katanya. “Saya duduk rumah dan jaga anak-anak.”

COUPLE
Permohonan bantuan kebajikan pasangan ini ditolak kerana upah Ragunathan sebelum ini melebihi had kelayakan. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Sebelum kemalangan, Ragunathan terima upah RM1,500 sebulan. Sekarang, keluarga ini bergantung pada Krishnavany, yang baru-baru ini bekerja di sebuah kilang bakeri, dengan upah RM1,200 sebulan.

Namun perbelanjaan bulanan mereka – sewa, utiliti, bekalan, yuran sekolah dan ansuran motosikal – berjumlah RM1,800.

Kediaman baharu mereka hanya diisi barangan ditinggalkan mendiang ibu Ragunathan: Sebuah kabinet TV, altar, almari dapur, peti sejuk, dan mesin basuh.

Tiada kerusi atau meja untuk anak-anak membuat kerja sekolah, mahupun bingkai katil maka mereka tidur atas tilam yang dibentang atas lantai.

BOYS
Adik-beradik ini sentiasa sibuk menyiapkan buku latihan masing-masing. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

“Anak-anak pun tak makan dengan sempurna. Kalau ada duit, saya beli ayam dan masak kari. Masa lain mereka sekadar makan apa yang ada.

“Namun anak-anak amat memahami. Mereka kata: ‘Apa sahaja yang ibu hidang, kami makan,” kata Krishnavany sebak.

Anak sulung mereka, Sanjjivan, bersekolah di sekolah untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Anak bongsu, baru berusia empat tahun, mempunyai masalah kesihatan. Namun, di sebalik kesukaran, pasangan ini serius tentang pendidikan anak.

“Walau apa cara sekalipun, saya mahu mereka belajar. Itulah sebabnya saya hantar mereka ke prasekolah tepat pada masa,” kongsi Krishnavany.

“Saya tidak mahu mereka jadi seperti saya. Saya mahu mereka belajar bersungguh-sungguh dan jadi seseorang, dan berjaya,” tambah Ragunathan.

Meskipun bantuan NGO membantu keluarga ini mengharungi saat sukar, lebih banyak diperlukan untuk menampung kos perubatan, melangsaikan bil tertunggak, dan mempunyai tempat tinggal selesa serta selamat.

Barang runcit, bekalan sekolah, atau bantuan kewangan amat membantu. “Bantulah kami. Kami sangat susah,” rayu Ragunathan.

“Apabila saya perhatikan anak-anak, saya jadi amat sedih. Mereka langsung tak ada pakaian elok, tak makan makanan sempurna. Jika ada orang sudi membantu, saya amat gembira.”

Jika ingin membantu Ragunathan dan keluarganya, salurkan sumbangan anda ke akaun Maybank Suriana Welfare Society Malaysia (5123-6150-5370) atau hubungi 1300 88 2200.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.