
Pengarah urusan syarikat perunding kejuruteraan geologi, Geoxpert Sdn Bhd (GEX), Norazianti Asmari, berkata amalan ketika ini adalah ahli geologi hanya dilibatkan pada fasa permulaan iaitu sebelum pembinaan dan selepas ia siap.
Katanya, sepatutnya ahli geologi harus ada di setiap fasa sehingga sesuatu projek selesai.
“Di pertengahan projek ahli geologi tiada, jadi tiada siapa akan beri nasihat jika ada masalah tanah. Kemudian bila sesuatu berlaku semua orang tuding jari. Itu yang terjadi sekarang,” katanya kepada FMT.

Norazianti yang bernaung bawah Lembaga Geologi Malaysia (LGM) selama 16 tahun berkata, kerajaan hanya mewajibkan siasatan tanah dibuat bagi sesuatu pembangunan pada 2009 bagi mengekang kejadian tidak diingini.
“Penyiasatan tanah kini wajib. Pembangunan sebelum ini kita tak perincikan apa jenis bahan geologi di sub permukaan…akibatnya sudah nampak sekarang (banyak kes lubang benam dilaporkan).
“Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia kini giat minta siasatan tanah dari setiap pemaju,” katanya yang memulakan kerjaya sebagai ahli geologi pada 2008.
Beliau memberikan contoh pembangunan di Klang yang kebanyakan komposisi tanah terdiri tanah liat.
“Tanah liat ada sifat tersendiri, ia mengembang dan mengecut mengikut kadar air yang disimpan. Jika tiada siasatan tanah dan ahli geologi tidak beri nasihat untuk rawat tanah terlebih dahulu, pembangunan di kawasan itu akan berisiko,” katanya.
Graduan ijazah sarjana muda geologi dari Universiti Malaya itu berkata, semua pihak harus menghormati dan mengiktiraf peranan masing-masing untuk pembangunan yang mampan.
“Hormat kerja orang lain, contohnya ahli geologi hormat kerja jurutera dan begitu juga sebaliknya. Ini bukan pertunjukan seorang diri,” katanya.