Malaysia tak serah 5,207 hektar tanah kepada Indonesia, kata Anwar

Malaysia tak serah 5,207 hektar tanah kepada Indonesia, kata Anwar

Perdana menteri berkata laporan media itu tidak betul dan rundingan isu pampasan tanah terbabit akan diadakan dalam masa terdekat.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersalaman dengan hadirin setibanya di Karnival Kebudayaan Madani dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Permatang Pasir hari ini. (Gambar X)
BUKIT MERTAJAM:
Anwar Ibrahim menyangkal laporan media mendakwa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan dekat sempadan Sabah-Kalimantan.

Tetapi, perdana menteri berkata, rundingan isu pampasan tanah itu akan diadakan dalam masa terdekat.

“Laporan itu tidak betul, kita akan berunding dengan baik,” katanya ringkas selepas menghadiri Karnival Kebudayaan Madani dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Pejabat Pendidikan Seberang Perai Tengah, Permatang Pasir, di sini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohamad Abdul Hamid.

Baru-baru ini, media melaporkan tiga desa di Nunukan, Kalimantan Utara didakwa beralih ke Malaysia, namun pertikaian sempadan di kawasan Pulau Sebatik belum diselesaikan, sementara Indonesia dilaporkan memperoleh tambahan kawasan seluas 5,207 hektar dari Malaysia.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, berkata rundingan penandaan dan pengukuran di kawasan Isu Sempadan Tertunggak (OBP) dilaksanakan secara harmoni antara dua negara serta tidak bersandarkan prinsip timbal balik, pampasan atau untung-rugi.

Pemuktamadan pengukuran sempadan darat itu dibuat melalui pemeteraian memorandum persefahaman antara kedua-dua negara pada 18 Feb 2025 selepas melalui proses rundingan teknikal komprehensif dan telus lebih 45 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.