
Timbalan Presiden Persatuan Pesara Kerajaan, Mohd Rashidi Mohd Nor, berkata golongan pesara pastinya bersyukur dengan keputusan itu kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban kos sara hidup mereka.
“Dengan keadaan kos sara hidup yang tinggi ketika ini, ramai dalam kalangan pesara menghadapi kesulitan menyara kehidupan dan langkah kerajaan meneruskan pemberian ini (PKKP) amat disambut baik,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada masa sama, beliau juga berharap kerajaan dapat memuktamadkan keputusan melaksanakan penyelarasan pencen selaras semakan gaji penjawat awam mengikut Akta 1980.
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata kerajaan melalui keputusan Jemaah Menteri pada Jumaat lalu bersetuju meneruskan pemberian PKKP kepada pesara dan penerima pencen terbitan yang menikmati PKKP dalam usaha menjaga kebajikan golongan itu.
Sementara itu, pesara Kementerian Komunikasi, Nor Fadilah Othman menyifatkan langkah meneruskan pemberian PKKP kepada pesara tepat kerana ia membantu meringankan kos sara hidup golongan itu.
Bekas penolong pegawai penerbitan itu berkata, pesara juga mempunyai komitmen atau perbelanjaan luar jangka yang perlu dilunaskan meskipun telah menamatkan perkhidmatan dalam sektor awam.
“Saya amat bersetuju dengan keputusan perdana menteri meneruskan PKKP kerana setelah bersara, berkemungkinan pesara menghadapi pelbagai masalah. Ini tentu saja memerlukan perbelanjaan tinggi dan dengan adanya PKKP, ia sedikit sebanyak membantu pesara.”
Seorang lagi pesara, Zikri Mamat, 63, berkata keputusan itu membuktikan kerajaan tidak pernah melupakan pesara sepertinya yang telah lama berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Pesara Jabatan Pertanian Terengganu yang berkhidmat selama 39 tahun sejak 1980-an itu berkata, pengumuman tersebut membuatkannya rasa dihargai serta meringankan bebannya dalam menghadapi kenaikan harga barang serta kos sara hidup.
“Saya sangat bersyukur dengan pengumuman tersebut. Apatah lagi kami yang bergred rendah dan menerima pencen bawah RM2,000 ini sangatlah membantu untuk saya meneruskan hidup bersama isteri.”
Seorang pesara guru di Johor, Minati Hamir, 70, berkata keputusan itu sangat bermakna untuk mengurangkan beban mereka dalam pembelian barangan keperluan harian, khususnya ubat-ubatan dan rawatan hospital.
“Ia juga boleh digunakan untuk kegunaan lain seperti berinfak dan untuk simpanan apabila diperlukan kelak. Harapan saya agar inisiatif seperti ini diteruskan pada masa depan, sekali gus manfaatnya diterima lebih ramai pesara dalam meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup pesara.”
Norijah Ismail, 60, dari Kampung Indai, Tuaran turut berterima kasih kepada kerajaan kerana meneruskan PKKP bagi memastikan golongan pesara tidak terpinggir.
“Gaji macam kami tidak besar, jadi PKKP sangat bermakna. Ini juga bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan golongan pesara,” katanya yang telah berkhidmat selama 36 tahun dalam sektor awam.