Kerajaan menang rayuan, perintah pelarasan pencen diketepi

Kerajaan menang rayuan, perintah pelarasan pencen diketepi

Mahkamah Rayuan memutuskan permohonan semakan kehakiman dikemukakan 57 pesara pada 2024 adalah res judicata dan salah guna proses mahkamah.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi perintah kerajaan bayar tunggakan pencen RM1.7 bilion kepada 531,976 pesara.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi memerintah kerajaan melaraskan pencen bekas penjawat awam berdasarkan Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016 yang menyebabkan Putrajaya tidak perlu membayar tunggakan RM1.7 bilion kepada lebih setengah juta pesara.

Hakim Azhahari Kamal Ramli ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel tiga hakim berkata, perkara itu telah selesai melalui keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu pada 2022.

Oleh itu, katanya, permohonan semakan kehakiman difailkan Aminah Ahmad dan 56 pesara kerajaan lain, yang juga responden dalam kes ini, adalah res judicata dan salah guna proses mahkamah.

Tetapi, panel hakim dipengerusikan Hakim Lim Chong Fong dan dianggotai Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid, menjelaskan keputusan hari ini hanya terpakai kepada 57 responden dalam kes ini.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan pada 2022 membatalkan pindaan Akta Pelarasan Pencen 1980 (PAA) pada 2013 yang memberikan pesara kenaikan tahunan tetap sebanyak 2%.

Mahkamah Rayuan berkata, pindaan 2013 itu tidak berperlembagaan kerana meletakkan pesara kerajaan dalam kedudukan kurang menguntungkan, bertentangan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Aminah yang juga bekas pegawai Kementerian Luar Negeri, bersama responden lain memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi memohon Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan melaraskan pencen mereka berdasarkan formula sebelum 2013 di bawah PAA.

Formula sebelum 2013 mewajibkan kerajaan menyemak pencen sejajar pelarasan gaji pegawai yang sedang berkhidmat dalam sektor awam.

Pada Januari 2023, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan responden, yang membawa kepada rayuan semasa. Bagaimanapun, perintah itu digantung sementara menunggu keputusan rayuan ini.

Dalam hujah sebelum ini, kerajaan yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly berhujah pesara tidak berhak mendapat pelarasan pencen kerana Pekeliling Perkhidmatan PP 1/2016 hanyalah “penambahbaikan” kepada skim perkhidmatan awam, bukannya semakan gaji.

Dalam keputusannya hari ini, Mahkamah Rayuan bersetuju dengan kerajaan bahawa Aminah juga gagal membuktikan beliau mengalami kerugian daripada pindaan 2013 dan gagal merayu terhadap perkara itu sebelum ini.

Keputusan hari ini bermakna kerajaan tidak lagi terikat melaksanakan pelarasan itu.

Peguam Baljit Singh Sidhu yang mewakili responden bersama Gurpreet Kaur Pannu berkata, beliau diarah mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan hari ini ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Persekutuan Sallehuddin Ali turut mewakili kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.