‘Tak sampai 8%’, bekas tentera mahu penjelasan berhubung kiraan pencen

‘Tak sampai 8%’, bekas tentera mahu penjelasan berhubung kiraan pencen

Kira-kira 30 orang bekas tentera ke JHEV KL bagi mendapatkan penjelasan, di sebalik dakwaan kebanyakan tidak terima kenaikan 8%.

Sekumpulan bekas tentera ke Jabatan Hal Ehwal Veteran Kuala Lumpur bagi mendapatkan penjelasan berhubung kaedah kiraan pencen susulan SSPA.
KUALA LUMPUR:
Kira-kira 30 orang bekas tentera hadir ke Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Kuala Lumpur bagi mendapatkan penjelasan berhubung kiraan pencen, susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Seorang bekas tentera yang ditemui, Rafique Ali Ahmad Nordin, 65, mendakwa kebanyakan mereka tidak menerima kenaikan sebanyak 8%.

“Dikatakan 8% tetapi tak sampai pun. Kebanyakannya 6.4%, dan ada yang tak dapat lagi, langsung tiada naik pun. Kami cuma nak tanya kaedah apa yang mereka guna?” katanya.

Rafique Ali Ahmad Nordin.

Pada 7 Nov lalu, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin dilapor berkata veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum Januari 2013 akan menerima pelarasan pencen fasa pertama sebanyak 8% pada Disember, berdasarkan gaji akhir pada 2012.

Katanya, penyelarasan tersebut dibuat mengikut formula pencen yang terdapat dalam Peraturan ATM Tetap 1982, susulan pelaksanaan SSPA, lapor Malaysia Gazette.

Rafique menggesa agar penghitungan pelarasan pencen mengikut perkiraan berdasarkan Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-faedah Lain) 1982.

Beliau juga mahu JHEV beri layanan sewajarnya kepada mereka yang mahukan penjelasan berkait kaedah pengiraan penyelarasan pencen berdasarkan SSPA.

“Pernah diberi alasan oleh pihak JHEV bahawa apa yang kami nak tanya masih berada dalam proses undang-undang di mahkamah maka mereka akan tunggu keputusan mahkamah.

“Tetapi penjelasan yang kami minta tidak berkait dengan Sistem Saraan Malaysia sebelum ini tetapi SSPA 2024 yang baru dikuatkuasakan dan tidak menunggu apa-apa keputusan di mahkamah.

“Maka JHEV tidak ada alasan untuk menolak kedatangan kami.”

Pada 21 Dis, FMT melaporkan JHEV yang bertelagah dengan sebuah NGO terdiri bekas tentera membantah rancangan mereka berhimpun, susulan isu pencen yang belum selesai.

JHEV dalam surat kepada Bukit Aman menggesa polis menghentikan perhimpunan tersebut dijadual pada hari ini, dengan Ketua Pengarah Semaon Marjuki berkata Pertubuhan Pembela Pejuang Malaysia tidak mempunyai locus standi untuk mengadakan protes memandangkan tidak berdaftar dengan jabatan itu sebagai badan mewakili bekas anggota tentera.

Rafique berkata bekas tentera yang hadir hari ini datang secara individu untuk menuntut hak dan meminta penjelasan.

“Kami tidak datang dibawah mana-mana NGO seperti yang dinyatakan dalam surat oleh pihak JHEV,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.