Veteran tentera mula tugas warden asrama di 2 MRSM

Veteran tentera mula tugas warden asrama di 2 MRSM

Empat lelaki dan empat wanita dilantik bertugas di MRSM Besut dan Balik Pulau mulai hari ini.

mrsm balik pulau
Lapan veteran tentera mula tugas jadi warden asrama di MRSM Besut dan Balik Pulau hari ini sebagai inisiatif rintis Mara. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Lapan veteran tentera mula bertugas sebagai warden asrama di MRSM Besut, Terengganu, dan Balik Pulau, Pulau Pinang, hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Jeneral Semaon Marjuki berkata, empat lelaki dan empat wanita itu dilantik setelah lulus ujian serta temu duga, sebagai inisiatif rintis Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Pengalaman, ilmu dan karakter yang diperoleh seseorang veteran ketika berkhidmat mampu membantu membentuk sahsiah pelajar di sekolah berasrama penuh ini,” katanya, lapor Bernama.

“Mara menjadikan penugasan lapan veteran ini sebagai kajian rintis dan jika ia menunjukkan kesan positif, lebih ramai veteran tentera akan ditugaskan sebagai warden MRSM.”

Semaon berkata, lebih ramai veteran tentera berpotensi dilantik sebagai warden sekolah berasrama penuh, mencontohi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang kini mengambil lebih 400 bekas tentera sebagai renjer komuniti.

Pengerusi Mara Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya memulakan inisiatif rintis melantik pesara tentera dan polis sebagai warden asrama di dua MRSM bermula bulan ini.

Dalam pada itu, Semaon berkata, JHEV baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang turut meneliti keperluan mengambil veteran tentera bekerja.

Katanya, cadangan itu masih dibincangkan kerana terdapat beberapa aspek yang perlu dihalusi.

“JHEV sentiasa menyokong usaha mana-mana pihak, sama ada sektor awam atau swasta, yang mahu memanfaatkan kemahiran dimiliki veteran tentera dengan mengambil mereka bekerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.