Pesara berarak seluruh negara jika kerajaan terus tangguh bayaran pencen

Pesara berarak seluruh negara jika kerajaan terus tangguh bayaran pencen

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Jemale Paimen berkata pihaknya berhasrat bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi mencari jalan penyelesaian.

Perhimpunan Aman Sejahtera pelarasan pencen di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
Sekumpulan pesara perkhidmatan awam mengadakan Perhimpunan Aman Sejahtera menuntut kerajaan menyelesaikan pembayaran pelarasan pencen di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Kumpulan pesara tidak akan teragak-agak berarak ke seluruh negara jika kerajaan terus bertindak melengahkan pembayaran tunggakan pencen berjumlah RM1.7 bilion kepada hampir 532,000 pesara.

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Jemale Paimen, berkata pihaknya berhasrat untuk bertemu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu tunggakan pencen itu.

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Jemale Paimen
 Jemale Paimen

“Kami berharap dengan kuasa penuh yang ada oleh perdana menteri boleh mengatasi segala masalah dan diharapkan penyelesaian dapat dicapai tahun ini juga,” katanya kepada FMT, selepas perhimpunan aman di Dataran Merdeka, pagi ini.

“Bayaran pelarasan ini tidak boleh ditangguhkan lagi kerana dengan kos sara hidup makin tinggi menyebabkan pencen diterima hari ini tidak cukup untuk tampung perbelanjaan harian dan kos perubatan, kerana ada antara mereka sudah berusia lebih 80 tahun dan bergantung penuh kepada pencen.”

Terdahulu, kira-kira 2,000 pesara kerajaan mengadakan Perhimpunan Aman Sejahtera menuntut kerajaan menyelesaikan pembayaran pelarasan pencen dalam tempoh tiga bulan, sebagai menghormati keputusan mahkamah pada Januari lalu.

Perhimpunan bermula 8 pagi itu dianjurkan secara bersama oleh empat persatuan pesara iaitu Persatuan Pesara Kerajaan Melaysia, Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Persatuan Pesara Tentera Malaysia dan Kelab Pesara Kerajaan Malaysia.

Pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Nordin Abd Hamid
 Nordin Abd Hamid.

Pada 16 Jan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa pesara berhak mendapat pencen berdasarkan gaji akhir mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2016 berkuat kuasa mulai Januari 2022, dan memerintahkan kerajaan membuat pembayaran dalam tempoh tiga bulan.

Bagaimanapun, kerajaan memfailkan notis rayuan, dengan perbicaraan ditetapkan pada 9 Sept.

Pada Mac lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan kerajaan menangguhkan pembayaran tunggakan pencen berjumlah RM1.7 bilion kepada hampir 532,000 pesara sementara menunggu rayuan itu diselesaikan.

Mengulas lanjut, Pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Nordin Abd Hamid, berkata kerajaan wajar mendengar keluh kesah mereka memandangkan pesara pencen di negara ini meliputi hampir 1 juta orang, tidak termasuk ahli keluarga.

“Pesara kerajaan ada lebih kurang sejuta, dan jika termasuk pasangan serta anak-anak ada lebih 3 juta. Jadi kerajaan tak boleh pandang ringan perkara ini dan perlu patuhi arahan mahkamah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.