Sektor jagaan kesihatan swasta perlu pengawal selia bebas, kata ahli ekonomi

Sektor jagaan kesihatan swasta perlu pengawal selia bebas, kata ahli ekonomi

Geoffrey Williams berkata ini dapat mengelakkan kenaikan kos perubatan tidak beretika yang menyebabkan premium insurans lebih tinggi.

doctor in ward
Inflasi perubatan Malaysia mencapai 15% tahun ini, jauh lebih tinggi daripada purata global dan Asia Pasifik sebanyak 10%. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi menggesa pengawal selia bebas dilantik memantau sektor penjagaan kesihatan swasta bagi mengelakkan sebarang kenaikan kos perubatan tidak beretika yang akan menyebabkan premium insurans lebih tinggi.

Geoffrey Williams berkata, sebuah badan bebas boleh memastikan lebih banyak ketelusan dalam peraturan penetapan harga hospital swasta.

Menurutnya, sistem penjagaan kesihatan swasta tidak diberikan insentif untuk mengekang kos perubatan lebih tinggi kerana boleh menjejaskan pendapatan mereka.

Geoffrey Williams
Geoffrey Williams.

“Hospital swasta dan syarikat insurans tidak terjejas dengan kenaikan kos, selagi mereka boleh mengekalkan keuntungan dengan menyalurkannya (kos lebih tinggi) kepada pesakit,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, badan kawal selia itu perlu termasuk ahli ekonomi yang boleh memberi pandangan berkaitan kerana mereka “memahami isu ekonomi biasa dalam pembiayaan penjagaan kesihatan dan alternatif yang digunakan di seluruh dunia untuk menanganinya”.

Sektor penjagaan kesihatan swasta kini dikawal selia Majlis Perubatan Malaysia.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Bank Negara (BNM) pada Jumaat lalu bahawa syarikat insurans dan takaful dikehendaki melaksanakan pelarasan premium secara pengagihan (spread out) sekurang-kurangnya tiga tahun sehingga akhir 2026.

Bank pusat itu berkata, inflasi perubatan Malaysia mencapai 15% tahun ini, jauh lebih tinggi daripada purata global dan Asia Pasifik sebanyak 10%.

Menurutnya, kadar inflasi itu didorong kemajuan teknologi perubatan dan peningkatan penyakit tidak berjangkit yang menyebabkan permintaan lebih besar untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Williams menolak dakwaan hospital swasta bahawa pelaburan dalam teknologi perubatan mahal memaksa mereka memindahkan kos kepada pesakit.

Katanya, teknologi sedemikian akan mengurangkan kos operasi hospital dalam jangka panjang.

Beliau menyeru siasatan menyeluruh terhadap kenaikan kos perubatan di Malaysia kerana “ia mungkin disebabkan kegagalan tingkah laku dalam ekosistem kesihatan swasta Malaysia yang terlebih preskripsi dan mengenakan bayaran berlebihan”.

Niaz Asadullah
Niaz Asadullah.

Ahli ekonomi, Niaz Asadullah berkata peningkatan kebergantungan kepada insurans penjagaan kesihatan disebabkan kemerosotan kualiti dan kesesakan di hospital kerajaan mendorong pesakit ke hospital swasta lebih mahal.

Menurutnya, peralihan daripada penjagaan kesihatan awam kepada swasta disebabkan ketidakcekapan sistem awam membawa kepada tuntutan insurans dan premium lebih tinggi.

“(Kerajaan perlu) melabur dalam hospital awam dan menjadikannya alternatif berdaya maju kepada penjagaan swasta.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.