
Menzahirkan kebimbangan ke atas kesihatan awam, Kok mahu kerajaan mencontohi Thailand, Singapura, Brazil, dan Argentina yang telah melaksanakan larangan sepenuhnya ke atas vape dan rokok elektronik.
Katanya, penggunaan vape dan rokok elektronik bukan alternatif selamat seperti yang sering digambarkan dengan penggunaannya dikaitkan penyakit paru-paru, kerosakan sistem pernafasan, serta meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.
Dalam kenyataan, beliau juga menekankan data pihak kementerian sendiri mendedahkan 70% daripada produk vape disiasat setakat Jun 2025 didapati mengandungi bahan terlarang, termasuk dadah seperti ‘methamphetamine’ dan ‘synthetic cannabinoids’, dan 80% daripada kes disiasat pada 2024 melibatkan unsur penyalahgunaan dadah melalui vape.
“Fakta ini menjelaskan bahawa produk vape kini bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah menjadi alat penyeludupan dan penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan remaja dan belia.
“Vape bukan trend moden, tetapi ancaman kesihatan dan keselamatan yang memerlukan tindakan segera dan tegas,” katanya.
Pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Menteri Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya mempertimbangkan larangan penuh penjualan dan penggunaan vape dan rokok elektronik.
Namun, beliau berkata langkah itu memerlukan beberapa pertimbangan seperti implikasi undang-undang, penguatkuasaan, dan kesihatan awam.
Beberapa kerajaan negeri telah mengambil langkah pengharaman penuh penjualan vape, di Perlis, Terengganu, Kedah, dan Pahang. Johor dan Kelantan pula telah menguatkuasakan larangan penjualan produk tersebut masing-masing sejak 2016 dan 2015.