
Amar Singh menganggarkan lebih 50,000 mungkin meninggal dunia akibat Covid-19, melebihi angka rasmi kerana kematian akibat ‘long Covid’ dan bunuh diri tidak dimasukkan dalam kiraan kerajaan.
Data tersedia Kementerian Kesihatan menunjukkan 36,387 rakyat Malaysia meninggal dunia akibat Covid-19 sehingga Oktober 2022.
Ketika berucap pada satu sesi panel mengenai sebuah buku berkaitan Covid-19, Amar Singh, berkata: “Masalah ‘long Covid’ masih serius dan belum diselesaikan. Saya tahu pakar, guru, wartawan, dan kanak-kanak yang tidak lagi mampu bekerja atau belajar dengan berkesan.”
‘Long Covid’ adalah kumpulan masalah kesihatan berterusan atau timbul selepas jangkitan awal Covid-19, dan mampu berlarutan bertahun lamanya.
Amar berkata, kanak-kanak dan golongan orang kurang upaya, warga emas, golongan miskin, dan pesakit kronik, antara paling terkesan sepanjang pandemik.
Beliau berkata, kanak-kanak dijangkiti Covid-19 pada peringkat awal mungkin berdepan permulaan awal penyakit seperti dementia dan diabetes. Beliau turut menyatakan kesihatan mental dalam kalangan remaja semakin merosot dan kadar kelahiran menurun 10%.
Amar berkata, pandemik turut mendedahkan kelemahan besar dalam sistem kesihatan, pendidikan, dan perkhidmatan sosial negara. Beliau berkata, kerajaan tidak menggalakkan kritikan terhadap sistem kesihatan negara, yang menurutnya ‘merosot sejak beberapa dekad lalu’.
“Kita tidak dibenar bercakap mengenainya secara terbuka. Kita diminta mengurus dengan apa yang ada,” katanya.
Sesi panel itu diadakan sempena pelancaran buku ‘Crisis and Community: Covid-19 in Malaysia’, satu himpunan esei menyoroti antara krisis terburuk yang pernah dihadapi Malaysia.
Gagal tangani keperluan wanita
Pada forum itu, pakar virologi yang juga penganalisis dasar, Dr Lyana Khairuddin, menyeru penyelidikan kesihatan lebih inklusif dilaksanakan bagi meneliti keperluan wanita.
Beliau berkata, kekurangan data mengenai kesan sampingan vaksin terhadap haid dan impak long Covid terhadap wanita mencerminkan kegagalan lebih besar memuatkan perspektif jantina dalam kajian perubatan.
“Tiada kajian mengenai wanita dan apa dihadapi wanita,” katanya.
Merujuk kepada kerja dilakukan pembangun vaksin AstraZeneca, Sarah Gilbert dan Catherine Green, Lyana berkata penyelidikan yang inklusif serta dibiayai dengan baik mampu membawa kepada penemuan besar yang sebenar.
Beliau berkata, strategi kesihatan awam mesti merangkumi perwakilan jantina dan pelaburan penyelidikan peringkat serantau.