
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Awang Alik Jeman berkata, lanjutan pengecualian visa hingga 31 Dis 2026 itu diputuskan selari dengan Kepengerusian Asean oleh Malaysia tahun depan, serta persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Terdahulu, kerajaan turut memberikan lanjutan pengecualian visa sehingga tarikh yang sama bagi warganegara China,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Beliau berkata, pengecualian visa ini merupakan sebahagian inisiatif Pelan Liberalisasi Visa yang bertujuan mempertingkat sektor ekonomi dan pelancongan di Malaysia tanpa berkompromi dalam aspek keselamatan negara.
Pengecualian ini melibatkan tempoh 30 hari bagi warga China dan India yang telah berkuat kuasa sejak 1 Dis tahun lepas.
Dalam pada itu, Tourism Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap pemain industri pelancongan India atas peranan mereka mempromosikan Malaysia, menyaksikan lebih sejuta pelancong India berkunjung ke negara ini, melakarkan rekod baharu.
“Ini mencerminkan kepercayaan, semangat dan kerjasama antara Tourism Malaysia dan industri pelancongan India,” kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Muzafar Shah Mustafa pada majlis anjuran Tourism Malaysia.
Malaysia menyaksikan peningkatan ketara ketibaan pelancong dari India tahun ini susulan pengenalan kemasukan visa percuma pada Disember 2023.
Tahun lepas, Malaysia menerima sejumlah 671,846 pelawat dari India, dengan angka itu melebihi satu juta antara Januari hingga November tahun ini.
Malaysia menyasarkan lebih ramai pelancong India tiba susulan pelancaran kegiatan promosi pelancongan tahun depan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Sasaran kami untuk 2025 adalah sekurang-kurangnya 1.1 juta ketibaan dari India,” kata Pengarah Tourism Malaysia di New Delhi Ahmad Johanif Mohd Ali.
Malaysia Airlines, Batik Air, IndiGo, AirAsia dan Air India mengendalikan 248 penerbangan mingguan antara India dan Malaysia, menawarkan kira-kira 47,000 tempat duduk.