Promosi masakan Perlis perkukuh Ziarah Mahabbah MAIPs

Promosi masakan Perlis perkukuh Ziarah Mahabbah MAIPs

Inisiatif sokong TMPs 2024–2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Syed Faizuddin Putra
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan promosi masakan Perlis di Hotel Grand Mercure Krabi Ao Nang, Krabi bersama pasangan pelancong dari Sweden. (Gambar Istana Arau)
PETALING JAYA:
Program Ziarah Mahabbah anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Thailand tahun ini diperkukuh dengan penganjuran promosi masakan perlis.

MAIPS dalam kenyataan berkata inisiatif itu sebagai pengisian strategik bagi menyokong kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024–2026 serta Tahun Melawat Malaysia 2026.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat melancarkan promosi berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan menampilkan Perlis sebagai destinasi pelancongan keluarga berkualiti dengan kos berpatutan serta keunikan budaya dan kekayaan warisan gastronomi tradisional negeri itu.

Promosi masakan ini turut dimanfaatkan sebagai medium diplomasi budaya untuk menghubungkan Perlis dengan komuniti antarabangsa melalui pengenalan tradisi dan identiti makanan tempatan.

Program itu diselaraskan MAIPs dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) serta Mizza’s Kitchen Kg Gial, bersama rakan strategik dari negara jiran.

Ia dilaksanakan di sebuah restoran di Trang dan empat lagi di Krabi, melibatkan restoran serta hotel sebagai platform promosi kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Penganjuran kali ini turut memperkenalkan slogan baharu TMPs, “Hampa Nak Pi Mana? Mai Lah Perlis”, dan berlangsung antara tiga hari hingga dua minggu di beberapa lokasi terpilih di Trang dan Krabi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.