Pelancong China, Jepun dijangka meningkat susulan promosi agresif

Pelancong China, Jepun dijangka meningkat susulan promosi agresif

Menteri Tiong King Sing berkata promosi sasar pengembara yang cenderung berbelanja tinggi di negara seperti Jepun, China, dan Singapura serta Eropah.

Menteri Tiong King Sing bersama Pengerusi Oriental Kopi, Tengku Hishamuddin Zaizi, di pelancaran Rasa Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
KUALA LUMPUR:
Malaysia menjangkakan peningkatan pelancong dari China dan Jepun susulan promosi yang lebih agresif, khususnya menyasarkan pengembara yang cenderung berbelanja tinggi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata promosi ditumpukan di negara seperti Jepun, China, dan Singapura, serta Eropah dengan mendedahkan mereka kepada pelbagai destinasi kurang dikenali.

“Ramai di luar hanya tahu Kuala Lumpur atau Sabah tetapi tidak mengenali negeri-negeri lain. Sebab itu promosi perlu dipergiat, terutama di bandar peringkat kedua,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen Rasa Malaysia.

Bandar peringkat kedua merujuk kepada perbandaran yang bukan hub global utama seperti Kuala Lumpur, namun memiliki peluang ekonomi dan pelancongan yang tinggi.

Dalam pada itu, Tiong menegaskan keperluan memastikan pengalaman yang lancar dan selamat untuk pelancong, bagi mengekalkan keyakinan pengembara.

Di samping itu, promosi tidak boleh dihentikan kerana ia memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi, termasuk perusahaan kecil dan sederhana.

Rasa Malaysia dilancarkan oleh Oriental Kopi bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, dalam usaha memperkenalkan identiti Malaysia kepada pelancong. Majlis disertai Pengerusi Oriental Kopi, Tengku Hishamuddin Zaizi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.