
KKM berkata hasil siasatan itu merupakan persampelan air tandak (empangan kecil dibuat penduduk) pada 9 Dis lalu menunjukkan tiada pelanggaran had piawaian kandungan logam berat aluminium, arsenik, ferum dan kromium.
“KKM melalui Jabatan Kesihatan Kelantan dan pejabat kesihatan daerah akan menjalankan pemantauan kualiti bekalan air di Kampung Kelaik secara berkala dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengarahkan dua syarikat menghentikan aktiviti perlombongan di Sungai Kelaik, Gua Musang yang dikhuatiri menyebabkan pencemaran sungai.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata arahan itu hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar terhadap pematuhan dua syarikat terbabit mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sementara itu, KKM berkata hasil saringan kesihatan ke atas 200 penduduk kampung menerusi Program Jalinan Kasih yang diadakan pada 23 Sept lalu mendapati tiada kes akut yang disebabkan oleh keracunan logam berat.
KKM berkata saringan itu juga diperolehi daripada data daripada fasiliti kesihatan yang terdekat iaitu di Klinik Kesihatan Kuala Betis dan Klinik Kesihatan Pos Brooke.
“Mengambil kira perkembangan semasa, KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan akan menjalankan kajian lanjutan untuk mengenalpasti kesan kronik pendedahan logam berat terhadap kesihatan penduduk di Kampung Kelaik,” katanya.
KKM juga menasihatkan penduduk Kampung Kelaik terus menggunakan sumber air yang bersih bagi kegunaan harian.
KKM berkata akan menjalankan kajian lanjut ke atas sumber air dan sungai yang berkemungkinan menyebabkan keracunan seperti yang dilaporkan oleh media.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan kebimbangan penduduk Kampung Kelaik mengenai aktiviti perlombongan boleh menyebabkan pencemaran logam berat pada sumber air mereka.